Mohamad Norza (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif. Hadir sama Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib (kiri). FOTO Bernama
Mohamad Norza (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif. Hadir sama Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib (kiri). FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) harus menunggu lagi untuk mendapat 'lampu hijau' menjadi ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) walaupun mereka sebelum ini sudah diiktiraf Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata mana-mana organisasi perlu melalui beberapa kriteria serta prosedur kemasukan yang ketat sebelum dipilih menjadi ahli gabungan mereka.

"Seperti mana kriteria selama ini dan ia tertakluk dalam perlembagaan kita. Kriteria itu agak ketat dan proses berkenaan panjang kerana terpaksa dibawa kepada majlis untuk kelulusan kepada sesuatu perubahan daripada segi afiliasi kepada MOM," katanya dalam sidang media selepas Mesyurat Lembaga Eksekutif MOM Kali Keempat Sesi 2021/25.

Ujar Norza, buat masa ini, mereka masih dalam peringkat perbincangan dan akan melihat semua perkara daripada sudut perundangan, (pembangunan) peringkat akar umbi.

Sebelum ini, MSC menerima pengiktirafan dari PPS dan Astaf dengan enam ahli gabungan menjadi tonggak penubuhannya iaitu Persatuan Sepak Takraw Selangor; Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya, Persatuan Sepak Takraw Sarawak, Persatuan Sepak Takraw Perlis, Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan.

Namun, MSC yang ditubuhkan sebagai alternatif kepada jalan penyelesaian kemelut Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Astaf, dilihat masih belum dapat memenuhi kriteria termasuk daripada sudut jumlah ahli naungan untuk menjadi ahli gabungan MOM buat masa ini.

"Banyak perkara (kriteria persatuan untuk menjadi ahli gabungan MOM). Contohnya, dari segi ahli gabungan persatuan itu sendiri kerana ia membabitkan pembangunan di peringkat akar umbi.

"Saya fikir, minimum tujuh (ahli gabungan dalam mana-mana persatuan). Kita juga melihat dari segi audit akaun, perkembangan urus selia dan kejohanan dianjurkan. Kita lebih komprehensif dan ini sudah terbukti dilaksanakan sejak dulu lagi.

"Kalau tidak, macam-macam persatuan boleh jadi ahli gabungan kerana ada separuhnya tak memenuhi kriteria akan disenaraikan sebagai bersekutu. Jadi saya fikir, kita perlu melihat perkara ini dan disebabkan itu, saya meminta Pesuruhjaya Sukan (PJS), apa saja keputusan dibuat, ia tidak dibuat secara tergesa-gesa.

"Kita akan melihat perkara berkenaan kerana akhirnya kita tak nak apa saja keputusan kita, ia akan mengganggu gugat dari segi akar umbi dan kita tak nak apa saja pertelingkahan ini membawa kepada keruntuhan sukan berkenaan di negara kita. Kita kena fikir sukan ini secara keseluruhan," kata Norza.

Ditanya mengenai status PSM, Norza berkata, badan sukan sepak takraw kebangsaan itu masih sebagai ahli gabungan MOM dan mereka turut menerima permohonan kemasukan dari MSC.

"Perkara ini dibincangkan begitu hangat dan lanjut dalam mesyuarat tadi dengan kehadiran PJS, Ibrahim Mohd Yusof. Kita beranggapan, apa sahaja keputusan dibuat PJS harus tidak tergesa-gesa kerana di pihak MOM, kita melihat daripada segi kepentingan sukan berkenaan terutama membabitkan program di akar umbi.

"Di samping itu juga, kita melihat daripada segi kriteria sebagai ahli kita dan kita akan memberi jawatankuasa perundangan MOM yang dipengerusikan Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos untuk melihat secara lanjut terhadap kemelut sepak takraw ini dan keputusan itu akan kita perbincangkan dengan lebih lanjut," kata Norza.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 5:28 PM