Haiqal Hanafi (tengah) memenangi 100m pada kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Mini Stadium MSN, Bukit Jalil. -FOTO Fathil Asri
Haiqal Hanafi (tengah) memenangi 100m pada kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Mini Stadium MSN, Bukit Jalil. -FOTO Fathil Asri
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelari pecut negara Muhammad Haiqal Hanafi menyerah nasibnya untuk beraksi di Sukan Sea Hanoi kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Pemenang pingat emas 100 meter Sukan Sea Filipina itu berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk beraksi di Sukan Sea berkenaan memandangkan ketika ini tidak berada pada tahap yang terbaik.

Namun, katanya, jika disenaraikan oleh KOM, dia bersedia memberikan komitmen yang tinggi bagi memastikan membawa pulang pingat untuk negara.

"Berkaitan Sukan Sea Vietnam, saya tidak mahu terlalu memikirkannya kerana jika tak ada rezeki beraksi di temasya berkenaan mungkin akan fokus kepada pertandingan lain.

"Saya tidak berharap apa-apa daripada KOM namun jika mereka nak hantar dalam kategori B, mungkin saya beraksi untuk 4x100 dan akan beri tumpuan kepada acara itu.

"Jika dilihat situasi sekarang, saya tidak kecewa jika tidak dapat beraksi di Sukan Sea kerana pernah berpengalaman menang di temasya itu. Jujur saya katakan tidak bersedia untuk Sukan Sea tahun ini berdasarkan kepada pencapaian terkini," katanya.

Terdahulu, Haiqal membuktikan dia masih lagi berbisa apabila berjaya meraih pingat emas 100 meter di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, petang semalam(paper kelmarin).

Walaupun berlari dalam keadaan hujan, Haiqal berjaya mengekalkan momentum pecutan untuk menjadi pelari pertama tiba di garisan penamat dengan catatan masa 10.58 saat(S).

Walaupun berjaya mengungguli acara 100 meter itu, Haiqal masih lagi gagal melepasi kelayakan Sukan Sea Vietnam iaitu 10.52 s.

Mengikut rekod, setakat ini hanya tiga pelari pecut negara layak ke Sukan Sea Hanoi bagi kategori A (kos ditanggung sepenuhnya) membabitkan Muhammad Arsyad Md Saat, Russel Alexander Nasir Taib dan Muhammad Zulfiqar Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 2:24 PM