Atlet pecut negara, Haiqal Hanafi
Atlet pecut negara, Haiqal Hanafi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tetap akan menghantar pemenang pingat emas acara 100 meter (m) lelaki Sukan Sea Filipina, Haiqal Hanafi di temasya yang sama tahun ini namun pelari pecut negara itu hanya mengambil bahagian dalam acara 4x100m lari berganti-ganti.

Menurut Presiden KOM, Datuk SM Muthu, Haiqal berada dalam pasukan olahraga negara untuk ke temasya berkenaan namun tiada tempat buat atlet lompat tinggi, Lee Hup Wei walaupun bagi kategori B.

"Kita memberi peluang pada dia (Haiqal) tapi Hup Wei tidak sampai pada tahap yang ditetapkan dan tidak sesuai bagi dihantar ke Sukan Sea," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan KOM hari ini.

Ditanya siapakan yang bakal menggalas tanggungjawab untuk skuad olahraga negara meraih hatrik emas 100m lelaki, Muthu berkata harapan bakal digalas Russel Alexander Nasib Taib yang meraih gangsa dalam acara 200m lelaki di Manila pada 2019.

Ini bermakna Russel Alexander akan mengetui kuartet 4x100m untuk bergandingan bersama Haiqal, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Muhammad Arsyad Md Saat.

Peluang juga terbuka buat seorang lagi atlet pecut lelaki negara, Muhammad Zulfiqar Ismail untuk disenaraikan dalam kuartet berkenaan kerana dia juga layak ke Sukan Sea Hanoi bagi kategori A (kos ditanggung sepenuhnya).

Terdahulu, Haiqal membuktikan dia masih lagi berbisa apabila berjaya meraih pingat emas 100 meter di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, hujung minggu lalu.

Walaupun berlari dalam keadaan hujan, Haiqal berjaya mengekalkan momentum pecutan untuk menjadi pelari pertama tiba di garisan penamat dengan catatan masa 10.58 saat (s) namun dia masih lagi gagal melepasi kelayakan Sukan Sea Vietnam iaitu 10.52s.

Sementara itu, Muthu berkata seramai 36 atlet akan disenaraikan beraksi di temasya berkenaan dan menanti lampu hijau daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Seramai 14 atlet lelaki disenaraikan untuk kategori A dan 7 lagi kategori B, manakala empat atlet wanita pula layak menerusi kategori A dan sembilan untuk kategori B," katanya.

KOM masih lagi kekal dengan sasaran untuk mengulangi pencapaian meraih lima emas seperti yang dicatatkan ketika di Sukan Sea Manila 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 7:05 PM