TINDAKAN Zverev (dua dari kanan) akhirnya membawa padah selepas dihukum oleh ATP. FOTO AFP
TINDAKAN Zverev (dua dari kanan) akhirnya membawa padah selepas dihukum oleh ATP. FOTO AFP
Reuters

Acapulco: Pemain nombor tiga dunia, Alexander Zverev, yang disingkirkan dari saingan ATP 500 di Acapulco selepas menghayun raket berulang kali ke arah kerusi umpire, didenda AS$40,000 (RM167,000).

Zverev didenda sebanyak AS$20,000 (RM83,000) kerana melemparkan kata-kata kesat, manakala AS$20,000 lagi disebabkan sikap kurang semangat kesukanan.

Dia juga akan kehilangan lebih daripada AS$31,000 (RM130,000) wang kemenangan dan mata ranking untuk acara perseorangan serta beregu di kejohanan Terbuka Mexico itu turut dipotong.

ATP berkata denda ke atas Zverev yang berusia 24 tahun adalah maksimum bagi setiap pelanggaran, juga akan melancarkan semakan lanjut mengenai insiden itu, yang boleh membawa kepada lebih banyak sekatan daripada badan induk berkenaan.

Bintang Jerman itu akhirnya meminta maaf di atas sikapnya selepas dia dan rakan segandingan dari Brazil, Marcelo Melo tumpas 2-6, 6-4, 6-10 kepada Lloyd Glasspool-Harri Heliovaara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 3:13 PM