Norhayati bersama Bernard pada sidang media hari ini
Norhayati bersama Bernard pada sidang media hari ini
Saiful Affendy Sapran

saifulaffendy@hmetro com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Olahraga Selangor (POS) akan memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kesahihan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, 12 Disember lalu.

Peguam mewakili POS dari Bernard Francis & Associates, Bernard Francis berkata, pihak mahkamah sudah menetapkan 7 Mac depan sebagai sesi pendengaran kes itu.

Ia selepas Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof didakwa mencetuskan kekeliruan apabila mengeluarkan dua surat yang tidak menyatakan dengan jelas mengapa AGM itu tidak mengikut peraturan.

"Kami sudah failkan permohonan semakan kehakiman dan di dalam surat 21 Januari 2022, PJS hanya menyatakan pendapat mereka bahawa AGM dilangsungkan tidak teratur dan hanya menyatakannya secara umum.

"Surat bertarikh 19 Januari 2022 pula menyatakan POS ada isi borang tidak lengkap. Jadi kami menjadi tidak pasti. Kami berpendapat bahawa sama ada AGM itu sah atau tidak bukan bidang kuasa PJS.

"Sebab itu sekarang ini kita kemukakan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada ia adalah sah atau tidak," katanya pada sidang media hari ini.

Pada 9 Februari lalu, Ibrahim menerusi laporan Arena Metro berkata, kepimpinan yang dilantik pada AGM terbabit tidak terpakai sekali gus timbul tanya siapa sebenarnya yang menerajui badan induk olahraga itu.

Katanya, pihaknya sudah melakukan semakan terhadap laporan dan dokumen AGM itu sekali gus mendapati ia dilaksanakan secara tidak teratur.

Beliau berkata, AGM berkenaan berlangsung tidak mengikut garis panduan ditetapkan selain turut gagal mematuhi perlembagaan persatuan itu.

POS yang dilanda kemelut dalaman sebelum ini melakukan transformasi besar apabila melantik bekas atlet Kuala Lumpur, Norhayati Karim bagi menerajui badan induk itu menerusi pemilihan sempena AGM itu.

Terdahulu, kepimpinan POS bergolak apabila persatuan terbabit memutuskan untuk memecat Presidennya SM Muthu daripada memegang sebarang jawatan di dalam badan induk olahraga negeri itu.

Keputusan itu diambil selepas Jawatankuasa Induk POS melalui Jawatankuasa Kecil Tatatertib yang ditubuhkan berlandaskan perlembagaan POS sebulat suara menyokong usul berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 6:55 PM