WAI Ching (kanan) selepas menghabiskan sesi latihannya pagi tadi. Foto Instagram mastowerrunner
WAI Ching (kanan) selepas menghabiskan sesi latihannya pagi tadi. Foto Instagram mastowerrunner
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Sekalipun rakyat Malaysia berbangsa Cina di seluruh negara menyambut Tahun Baharu Cina hari ini, bagi pelari menara negara Soh Wai Ching dia tetap menjalani latihan intensif bagi mempersiapkan diri menghadapi perlumbaan pertamanya tahun ini.

Wai Ching, 27, yang melakar sejarah apabila mengungguli perlumbaan Empire State Building Run-Up (ESBRU) di New York tahun lalu, dijadualkan menyertai perlumbaan menara Media One Hotel di Dubai atau lebih dikenali sebagai M1 Run pada Sabtu ini.

"Wai Ching ingin mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang menyambut dan selamat maju jaya kepada semua. Harap pada tahun baharu ini, kita semua boleh bermula eksesais supaya kita sihat sentiasa. Kita juga perlu sentiasa mengikut SOP yang ditetapkan. Juga Selamat Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Pagi ini saya keluar awal berlatih di Sri Bintang Trail (dekat Kepong). Dari puncak satu ke puncak dua. Bertemu God of Fortune di sana sebaik saya menghabiskan sesi latihan. Satu hari yang hebat untuk memulakan Tahun Harimau," tulisnya dalam perkongsian terbaharu di laman Instagram.

Semalam, pelumba bersemangat waja itu berlatih dengan menaiki bangunan 36 tingkat sebanyak lapan kali sekali gus bersamaan 288 tingkat.

"Dalam bahasa Kantonis bagi 288, kami memanggilnya "senang mencapai kejayaan!," katanya yang kemudian makan malam bersama keluarganya, tradisi masyarakat Cina menjelang Tahun Baharu.

Pelari berasal dari Selayang, Selangor itu akan berlepas ke Dubai pada pagi Jumaat ini untuk mempertahankan kejuaraan dimenanginya tahun lalu.

Perlumbaan tahunan M1 itu menggabungkan larian condong sejauh 1.2 kilometer diikuti dengan pendakian lebih 700 anak tangga dari tingkat tujuh hingga tingkat ke-42 Media One Hotel & Tower.

Wai Ching memenangi perlumbaan itu dengan masa enam minit 47 saat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 3:14 PM