WAI Ching bersama pingat kemenangannya sejak Ogos lalu. FOTO Instagram mastowerrunner
WAI Ching bersama pingat kemenangannya sejak Ogos lalu. FOTO Instagram mastowerrunner
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Jaguh menara negara Soh Wai Ching seorang yang tidak boleh duduk diam melihat bangunan tinggi di sekitarnya.

Ketika menghabiskan kuarantin tujuh hari selepas pulang dari luar negara baru-baru ini, dia sering kali memandang bangunan mercu tanda baharu negara Merdeka 118, yang kini menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj al-Khalifa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari hotel penginapannya.

Tidak hairan dia mengimpikan untuk 'menakluk' bangunan tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 678.9 meter itu yang dijangka siap sepenuhnya hujung tahun depan.

Dalam Insta Story miliknya, Wai Ching turut sempat memuat naik gambar menara yang masih dalam pembinaan itu sekali gus menggambarkan keinginannya untuk menawan menara yang mempunyai 118 tingkat itu suatu hari nanti.

Terdahulu, Wai Ching muncul peserta pertama dari benua Asia menjuarai Empire State Building Run-Up (ESBRU), perlumbaan menara yang dianggap paling berprestij di dunia pada Oktober lalu.

Pelari berusia 27 tahun berasal dari Selayang, Selangor itu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 13 perlumbaan menara berturut-turut di seluruh dunia sejak Disember 2019.

Dia memegang rekod dunia Guinness bagi cabaran pendakian tangga menegak dalam tempoh satu jam dengan jarak 1.295km yang dilakukan di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur hujung tahun lalu.

Kini dia bercita-cita 'menakluk' dua bangunan tertinggi di dunia, Burj al-Khalifa dan Merdeka 118.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 7:58 PM