Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pelumba sensasi Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff meletakkan impian yang tinggi untuk melakar kejayaan lebih baik bersama skuad itu musim ini.

Aiman yang pernah memahat sejarah muncul pelumba kebangsaan pertama bergelar Raja Bukit dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 selepas negara menanti selama 24 tahun sejak edisi pertama 1996 bagaimanapun mengakui cabaran besar menantinya bersama rakan sepasukan untuk mengintai lebih banyak podium musim ini.

Musim lalu, pelumba berusia 25 tahun kelahiran Setiu itu mencipta kejutan apabila meraih jersi oren selaku Raja Bukit pada peringkat perlumbaan Jelajah Rwanda dengan mengungguli zon pendakian bermula dari Kigali Arena dan tamat di Rwamagana dengan jarak sejauh 115.6 kilometer (km).

"Alhamdulillah musim ini khidmat saya masih diperlukan untuk tahun kedua berturut-turut bersama TSG, namun saya rasakan tahun ini saingan lebih mencabar berbanding musim lalu.

"Tahun lalu hanya satu podium diraih di Jelajah Rwanda, tapi saya tidak dapat kekalkan jersi berkenaan kerana ramai pelumba handalan dunia menyertai kejohanan dengan laluan berbukit itu.

"Jadi tahun ini saya berazam untuk melakar kejayaan yang lebih bermakna dalam setiap kejohanan yang disertai termasuk Jelajah Rwanda bermula 20 Februari depan.

"Manakala perlumbaan Jelajah Eropah pula yang dijadualkan awal Februari, jika disenaraikan dan diberi peluang kedua, saya juga berazam untuk memburu podium biarpun sedar cabaran di jelajah itu lebih sengit berbanding jelajah Asia," katanya ketika ditemui.

AIMAN tekad buru lebih banyak podium musim ini. FOTO Ghazali Kori
AIMAN tekad buru lebih banyak podium musim ini. FOTO Ghazali Kori

Bekas pelumba Sapura Cycling Team (TSC) itu yang pernah memenangi Jersi Merah dalam saingan edisi pertama 'Tour of Peninsular' pada Oktober 2019 ketika menyarung jersi pasukan TSC juga dijangka bakal beraksi dalam perlumbaan di Arab Saudi bermula 1 Februari depan.

"Jika tiada halangan perlumbaan di Arab Saudi adalah kali pertama buat saya dengan laluan sedikit landai, namun cabarannya adalah angin kuat serta persaingan daripada pelumba profesional lain.

"Tapi walaupun kali pertama, saya tetap impikan podium dalam perlumbaan itu sekali gus mampu meningkat motivasi diri dan rakan sepasukan sebelum menyambung kejohanan lain," kata anak sulung daripada lima adik-beradik itu yang bercita-cita beraksi dalam pentas Sukan Olimpik satu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 2:28 PM