ATLET Team Sapura Cycling, Mohammad Saari (tengah) bersama pasukannya selepas menjuarai acara Lepas Beramai-ramai Lelaki Elit pada Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan 2021, Bukit Katil, semalam. FOTO Bernama
ATLET Team Sapura Cycling, Mohammad Saari (tengah) bersama pasukannya selepas menjuarai acara Lepas Beramai-ramai Lelaki Elit pada Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan 2021, Bukit Katil, semalam. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Team Sapura Cycling (TSC) berjaya menutup tirai 2021 dengan kejayaan manis apabila berjaya mengekalkan dua jersi utama di Kejohanan Berbasikal Kebangsaan, di Melaka semalam.

Ia dicapai menerusi Mohamad Saari Amri Abd Rasim dalam acara lepas beramai-ramai elit dan juga dalam acara ujian masa individu elit oleh Muhammad Nur Aiman Rosli.

Bagi pengurus pasukan, Sayuti Zahit banyak cabaran yang dilalui oleh pasukannya sepanjang tahun 2021 terutama dalam usaha untuk mengekalkan status sebagai pasukan terbaik Asia namun mereka terpaksa akur dengan keadaan semasa yang menyekat pembabitan pelumbanya untuk menyertai lebih banyak pertandingan.

"Alhamdulillah tahun ini kita berjaya kekalkan dua jersi utama. Kejayaan di Kejohanan Kebangsaan ini memang penting buat kami kerana ia adalah pemilihan untuk ke Sukan Sea.

"Kami melalui tahun 2021 yang penuh mencabar dari segi perlumbaan, kewangan, mental pelumba dan juga kakitangan pasukan sebab Covid-19.

"Banyak perkara yang terpaksa dirancang semula dan pada masa yang sama menambah kos jadi saya harapkan tahun 2022 nanti kami semua dah bersedia hasil pengalaman yang dilalui pada 2021," katanya.

Sayuti berkata, TSC akan terus mengorak langkah dan meletakkan sasaran meraih emas di Sukan Sea Vietnam dalam acara individu ujian masa menerusi Aiman yang bergelar juara kebangsaan.

Pada masa yang sama, Sayuti yang juga bekas pelumba kebangsaan berharap, TSC akan kembali merebut gelaran pasukan terbaik Asia dalam siri Jelajah Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 2:43 PM