Pengurus Team Sapura, Sayuti Zahid. FOTO File NSTP
Pengurus Team Sapura, Sayuti Zahid. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) seharusnya mengambil pendekatan sendiri untuk berusaha mencari dana dan sumber pendapatan bagi menampung kos pentadbiran badan induk itu.

Mereka kini dikatakan berada di tahap kritikal dan hampir muflis berikutan tiada sebarang perlumbaan dapat dianjurkan kerana perintah kawalan pergerakan yang ditetapkan oleh kerajaan berikutan pandemik Covid-19.

Menurut bekas pelumba kebangsaan yang kini memimpin Sapura Cycling Team (TSC), Sayuti Zahid, PKBM seharusnya bijak mengambil kesempatan tatkala basikal kini menjadi gaya hidup terutama golongan kelas atasan.

Katanya, usaha perlu dilakukan untuk mendekati golongan korporat ini dan mencari jalan untuk meyakinkan golongan berkenaan apa yang mereka mampu peroleh sekiranya dapat menjalinkan kerjasama bersama PKBM.

"Rugilah kalau PKBM tak ambil kesempatan ini. Kita lihat sekarang berapa ramai orang minat basikal. Malah menteri-menteri kita sendiripun berkayuh basikal.

"Itu tidak termasuk CEO (ketua pegawai eksekutif) yang turut minat basikal. Takkan lah nak tunggu mereka yang menawarkan diri, PKBM lah harus berusaha untuk memikirkan cara terbaik menarik mereka masuk dan mencari dana untuk persatuan," katanya.

Sayuti yang kini menjadi pengurus pasukan TSC berjaya membawa pasukan itu muncul juara keseluruhan pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 berkata, seharusnya PKBM perlu diberi nafas baru demi kemajuan sukan berbasikal negara.

Ketika ini, Malaysia mempunyai ramai pelumba berbakat yang boleh diketengahkan lebih jauh terutama selepas kejayaan Datuk Azizulhasni Awang di temasya Olimpik mampu mencetus fenomena dalam sukan itu.

Terdahulu PKBM mengatakan bahawa mereka tidak mampu memberikan insentif atau 'durian runtuh' kepada Azizul yang memenangi perak pada temasya Olimpik Tokyo.

Presidennya Datuk Abu Samah Wahab berkata, PKBM boleh dikatakan berada dalam situasi tenat dengan kantung kewangan semakin menipis disebabkan lebih setahun tiada sebarang penganjuran kejohanan akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 6:37 PM