AIMAN (biru) berjaya muncul juara acara ujian masa individu Kejohanan Berbasikal Kebangsaan di Manong, Perak. FOTO Ihsan TSG
AIMAN (biru) berjaya muncul juara acara ujian masa individu Kejohanan Berbasikal Kebangsaan di Manong, Perak. FOTO Ihsan TSG
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Team Sapura Cycling (TSC) membuktikan mereka berada di kelas tersendiri apabila berjaya mengekalkan status kejuaraan di Kejohanan Berbasikal Kebangsaan dalam acara ujian masa individu.

Kejohanan yang berlangsung di Manong, Perak itu menyaksikan Muhammad Nur Aiman Rosli dinobatkan sebagai juara sekali gus mengekalkan status itu buat kali ketiga berturut-turut.

Pengurus pasukan, Sayuti Zahit berkata apa yang dipamerkan oleh Aiman itu sesuatu yang boleh dibanggakan dan mampu menyuntik semangat kepada dirinya dalam mempersiapkan diri menghadapi temasya Sukan Sea di Kemboja tahun depan.

"Alhamdulillah Aiman dapat kekalkan jersi juara ujian masa buat kali ketiga berturut-turut dan keempat buat TSC. Ia satu yang boleh dibanggakan dan penting untuk dia (Aiman) mendapat keyakinan dan menangi emas di Sukan Sea nanti.

"Rakan pasukan Adlan (Muhammad Shaiful Adlan Shukri) yang mendapat kedudukan kedua juga menunjukkan prestasi yang bagus dan kejayaan ini memberi impak yang positif kepada pasukan dan rakan sepasukan untuk kami teruskan perjuangan dalam acara lebuh raya dan kekalkan jersi juara kebangsaan yang dimenangi oleh Mohamad Saari Amri Abd Rasim esok," katanya.

Dalam aksi yang berlangsung di Dataran Amanjaya, Manong Perak itu membabitkan jarak laluan sejauh 36.8km menyaksikan Aiman mencatatkan masa 47 minit 33.144 untuk bergelar juara menewaskan rakan pasukan Adlan di tempat kedua, 47:58.94s manakala pelumba Terengganu Polygon Cycling Team, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff di tempat ketiga, 48:33.258s.

Mengulas mengenai strategi dalam acara lebuh raya nanti, Sayuti berkata, TSC sekali lagi akan mempertaruhkan Saari dan berharap kerjasama berpasukan yang erat akan membantu kemenangan pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 3:05 PM