Sayuti (tengah) pada sidang media memperkenalkan pelumba TSC Muhammad Saari (kanan) dan Akmal Hakim ke Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan 2020 hari ini. FOTO Bernama
Sayuti (tengah) pada sidang media memperkenalkan pelumba TSC Muhammad Saari (kanan) dan Akmal Hakim ke Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan 2020 hari ini. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


TEAM Sapura Cycling (TSC) mempertaruhkan dua pelumba bagi merebut gelaran juara di Kejohanan Berbasikal Kebangsaan yang akan berlangsung di Melaka dari Jumaat hingga Ahad ini seterusnya mengekalkan kedudukan ranking selaku pasukan terbaik Asia dalam siri Jelajah Asia.

Biarpun hanya mempertaruhkan naib juara tahun lalu, Akmal Hakim Zakaria, 23, dan Muhsin Al Redha Misbah, 23, namun pengurus pasukan, Sayuti Zahit yakin pelumbanya mampu melakarkan kejutan sekali gus memperbaiki pencapaian tahun lalu.

Bagaimanapun Sayuti sedar cabaran sengit yang akan diterima terutama daripada Terengganu Cyling Team (TSG) yang mempertaruhkan enam pelumba senior selain pasukan kebangsaan Malaysia di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) yang membariskan pelumba terbaik.

Biarpun begitu, beliau yakin dengan kemampuan dua pelumbanya yang sememangnya meletakkan sasaran untuk bergelar juara kebangsaan sekali gus mengumpul mata maksimum mungkin berdasarkan jarak dan laluan kali ini.

"Biarpun TSC membariskan pelumba muda tapi saya percaya mereka mampu mencabar pelumba senior yang lain. Laluan kali ini memberi kelebihan kepada semua pelumba yang mengambil bahagian.

"Kejohanan Berbasikal Kebangsaan ini adalah kejohanan yang menawarkan mata mudah dan besar buat pelumba Malaysia kerana saingan hanya membabitkan dikalangan pelumba tempatan.

"Jadi misi utama adalah untuk memburu kejuaraan untuk menjarakkan kedudukan daripada TSG yang kini berada di tempat kedua dalam ranking Jelajah Asia," katanya.

Untuk rekod TSC kini mendahului senarai ranking Jelajah Asia selepas mengumpul 1119 manakala TSG di tempat kedua, 720 mata. Biarpun dibezakan dengan 399 mata namun kedudukan itu masih belum selamat buat TSC sekiranya mahu terus kekal di takhta kedudukan Jelajah Asia.

Kejohanan tiga hari itu membabitkan empat kategori iaitu dalam acara lebuh raya elit yang menawarkan jarak laluan sejauh 182 kilometer (km) dan bawah 23 tahun (156km) selain acara ujian masa berkumpulan dan perseorangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 7:25 PM