PANDELELA waspada ancaman rakan senegara di Singapura.
PANDELELA waspada ancaman rakan senegara di Singapura.
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Sukan SEA Singapura bakal menyaksikan kelibat ratu terjun negara, Pandelela Rinong kembali merangkul pingat selepas suram pada empat penyertaan di Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2015.

Biarpun tidak boleh membandingkan status penyertaan Kejohanan Siri Dunia dengan Sukan SEA namun sekurang-kurangnya emas dirangkul pada temasya di peringkat Asia Tenggara itu mampu menyuntik semangatnya untuk terus menyerlah di pentas antarabangsa.

Rekod bersih merangkul empat emas daripada lima penyertaan di Sukan SEA bagaimanapun bukan jaminan buat atlet kelahiran Sarawak itu bakal sekali lagi membawa pulang emas dalam acara 10m platform individu.

“Biarpun hanya Sukan SEA, saya tetap anggap seperti pertandingan antarabangsa lain. Saya tetap akan fokus dan tidak boleh memandang ringan setiap lawan walaupun tidak pernah melihat atlet Asia Tenggara bertanding di luar,” katanya.

Ditanya pesaing utama yang akan memberikannya cabaran, Pandelela berkata, saingan pasti hadir daripada rakan senegara namun hingga kini belum mengetahui atlet yang disenaraikan dalam acara 10m platform individu kerana jurulatih Yang Zhuliang belum memaklumkan senarai atlet bertanding.

Pemenang gangsa Sukan Olimpik London itu mempamerkan aksi hambar sepanjang penyertaannya di Kejohanan Terjun Siri Dunia apabila gagal meraih sebarang pingat tahun ini.

Sebelum ini, dia meraih perak dan gangsa ketika bergandingan bersama Leong Mun Yee dalam acara 10m terjun seirama selain perak acara individu tahun lalu.

Namun rentaknya seakan-akan terganggu apabila dihantui kecederaan lutut kiri ketika menjalani latihan di Guangzhou, China, sebulan sebelum aksi Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, Ogos lalu.

Pandelela dijangka tidak berdepan masalah membawa pulang pingat emas dari Singapura. Jika menang, dia mengekalkan penguasaan Sukan SEA acara 10m platform individu dan seirama sejak 2007 di Thailand, 2009 (Laos), 2011 (Palembang) dan 2013 (Myanmar).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:21 AM