AKSI  Zverev membalas servis Murray.
AKSI Zverev membalas servis Murray.
AFP

Indian Wells, Amerika Syarikat: Alexander Zverev memenangi pertarungan di antara dua pemenang pingat emas Olimpik di ATP Indian Wells awal pagi tadi.

Pemain Jerman berusia 24 tahun itu mara ke pusingan keempat selepas bangkit menewaskan juara Olimpik dua kali, Andy Murray 6-4, 7-6 (7/4).

Zverev meraih emas Olimpik di temasya Tokyo dan bekas pemain nombor satu dunia, Murray menang emas di Olimpik London 2012 dan Rio 2016.

Pilihan ketiga Zverev akan berdepan pemenang di antara Gael Monfils dari Perancis dan Kevin Anderson dari Afrika Selatan.

Murray beberapa kali menghempaskan raketnya ketika melakukan kesilapan namun sebaliknya bagi Zverev yang kekal fokus pada permainan ketujuh.

Dalam saingan WTA, pemain bukan pilihan, Shelby Rogers mengejutkan naib juara Terbuka AS, Leylah Fernandez dalam aksi tiga set pada hari yang menyaksikan pemain pilihan lain turut tersingkir.

Shelby menewaskan bintang remaja Kanada itu 2-6, 6-1, 7-6 (7/4) dalam tempoh dua jam 34 minit untuk mara ke suku akhir.

"Ia mengenai siapa mampu mendapatkan mata, " kata Shelby. "Siapa yang dapat kawal mata terlebih dahulu. Dia mempunyai masa depan yang cerah. Tuah menyebelahi saya hari ini dan saya teruja beraksi di suku akhir."

Shelby akan menentang pilihan ke-24 Jelena Ostapenko yang mengejutkan pilihan kedua dari Poland, Iga Swiatek dengan straight set.

Kekalahan Iga sehari selepas pilihan utama, Karolina Pliskova dan juara bertahan, Bianca Andreescu tersingkir di pusingan ketiga kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 11:24 AM