ZVEREV terpaksa akur kepada pemain tuan rumah Fritz apabila tumpas di suku akhir. FOTO AFP
ZVEREV terpaksa akur kepada pemain tuan rumah Fritz apabila tumpas di suku akhir. FOTO AFP
AFP

Indian Wells: Pemenang pingat emas Olimpik, Alexander Zverev dan naib juara Terbuka Perancis, Stefanos Tsitsipas tersingkir di suku akhir Master Indian Wells, selepas tumpas dalam aksi tiga set.

Pemain Amerika Syarikat, Taylor Fritz dua kali terselamat daripada mata akhir perlawanan dan menyingkirkan pilihan ketiga, Zverev 4-6, 6-3, 7-6 (7/3), manakala pilihan kedua, Tsitsipas ditunjukkan jalan keluar selepas kalah 4-6, 6-2, 4-6 di tangan pemain nombor 36 dunia, Nikoloz Basilashvili.

Ketiadaan Zverev dan Tsitsipas bermakna hanya pemain Britain, Cameron Norrie, yang juga pilihan ke-21, adalah pemain pilihan paling tinggi beraksi di separuh akhir.

Aksi separuh akhir sekarang ini bakal menemukan Fritz yang juga pilihan ke-31 berdepan Basilashvili dan Norrie akan berentap dengan pilihan ke-23, Grigor Dimitrov bagi memburu kejuaraan di Tennis Garden di California.

Zverev yang juga pemain kelahiran Jerman berjaya meninggalkan jauh lawannya di set terakhir dan hampir untuk mencatat kemenangan sebelum dia bergelut dengan pukulan servis kedua.

"Ia sangat menyakitkan kerana saya tahu bahawa Stefanos sudah kalah, saya merasakan sudah menjadi pemain pilihan untuk memenangi kejohanan ini.

"Bagaimanapun, permainan saya tidak menjadi," kata Zverev.

Pemain pilihan penonton, Fritz mendominasi aksi tiebreak di set ketiga dengan memenangi perlawanan hasil pukulan cross court.

"Saya meletakkan diri saya dalam situasi untuk kembali mengejarnya dan saya berjaya. Saya hanya terus berusaha memberi tentangan dan bermain mengikut rentak permainan saya," kata pemain kelahiran San Diego itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 1:05 PM