NORZA gesa persatuan elak  berpolitik.
NORZA gesa persatuan elak berpolitik.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hapuskan politik persatuan antara kunci kejayaan organisasi sukan untuk elak terjerumus dalam masalah kewangan atau berhadapan situasi 'kantung kering'.

Malah, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria turut mengingatkan persatuan sukan di negara ini seharusnya bijak dalam mengambil peluang selain perlu mengatur strategi pemasaran lebih berkesan bagi menarik lebih ramai pelabur atau penaja pada masa akan datang.

Beliau berkata, perkara terbabit perlu dilakukan persatuan sukan ketika ini dengan tidak lagi mengharapkan bantuan atau ihsan daripada pihak tertentu dan kerajaan dalam menggerakkan aktiviti membabitkan organisasi berkenaan.

Tanpa mahu menuding jari atau menyalahkan individu tertentu, Norza berkata, MOM hanya bertindak sebagai badan yang memayungi persatuan sukan dalam usaha mereka bertanding di peringkat antarabangsa namun tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran organisasi sukan. "Apa yang ingin saya kongsikan dalam usaha memastikan kantung persatuan sentiasa terisi, pihak bertanggungjawab atau pengurusan persatuan perlu perbaiki sistem mereka terutama membabitkan pemasaran dan pentadbiran.

"Jika persatuan dibelenggu masalah politik atau isu, sudah pasti agak sukar untuk mendapat penaja berikutan sibuk menyelesaikan isu dalaman. Saya tidak mahu menimbulkan isu mengatakan ada persatuan sukan menghadapi masalah kewangan atau sebagainya, namun berharap mereka boleh perbaiki pentadbiran masing-masing pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Terdahulu, akhbar ini mendedahkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengaku tidak mampu memberi insentif atau 'durian runtuh' kepada pelumba basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang memenangi pingat perak pada temasya Olimpik Tokyo.

Presidennya, Datuk Abu Samah Wahab berkata, PKBM berada dalam situasi tenat dengan kantung kewangan semakin menipis disebabkan lebih setahun tiada sebarang penganjuran kejohanan akibat pandemik Covid-19.

Situasi berbeza membabitkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang sudah mengumumkan pemberian durian runtuh berjumlah RM180,000 kepada pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik atas kemenangan pingat gangsa mereka di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 9:07 PM