PEMERHATI sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli. FOTO ARKIB NSTP
PEMERHATI sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli. FOTO ARKIB NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kemelut antara Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) perlu diselesaikan secepat mungkin agar tidak berlarutan sehingga memberi kesan kepada atlet yang akan bertanding di peringkat antarabangsa.

Pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, PJS dan MOM adalah dua organisasi terpenting di Malaysia dan jika mereka gagal mencapai kata sepakat serta membawa isu ini ke tahap lebih tinggi sehingga ada tindakan undang-undang, sudah pasti akan menjejaskan pelbagai pihak.

Beliau berkata, PJS adalah organisasi mentadbir Akta Pembangunan Sukan dan ia perlu wujudkan satu sistem harmoni dalam ekosistem sukan di Malaysia.

Katanya, MOM pula penting untuk pembangunan sukan di negara ini selain bertindak menguruskan atlet ke pertandingan peringkat antarabangsa.

"Kalau sampai satu tahap PJS gantung MOM mengikut peraturan sedia ada, perkara ini akan mengganggu tumpuan atlet kita, apatah lagi tahun depan kita ada Olimpik (Paris 2024).

"Segala penyertaan atlet di peringkat antarabangsa diuruskan oleh MOM dan ini akan menjejaskan persiapan dan merugikan atlet serta negara kita sendiri.

"Presiden MOM (Tan Sri Mohamad Norza Zakaria) turut terlibat dalam jawatankuasa program Road To Gold (RTG) sebagai pengerusi bersama RTG. Kalau isu ini tidak dapat diselesaikan, sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada program berkenaan.

"Jika MOM tidak berpuas hati dengan tindakan yang dikenakan ke atas mereka, mungkin MOM akan cuba bawa isu ini ke peringkat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan ini akan menjadi berlarutan lebih lama. Konflik ini akan jadi lebih serius dan keadaan tidak harmoni akan wujud dalam persatuan di Malaysia," katanya.

Semalam, melalui satu kenyataan media, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi jaminan kemelut atara PJS dan MOM akan diselesaikan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 8:12 PM