Prof Datuk Dr Md Amin (tengah) menyampaikan surat tawaran kepada Azizulhasni.
Prof Datuk Dr Md Amin (tengah) menyampaikan surat tawaran kepada Azizulhasni.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menyerahkan dokumen berbentuk surat tawaran biasiswa melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Dalam satu sesi ringkas yang diadakan di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff turut menyampaikan surat tawaran jawatan Pensyarah Universiti Gred DS45/51/53 kepada jaguh berbasikal trek negara itu.

Menurut Md Amin tawaran berkenaan adalah penghargaan pihak UPSI atas pencapaian cemerlang atlet Olimpik itu yang melakar kejayaan dalam bidang sukan berbasikal trek di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, Azizulhasni dipelawa melanjutkan pengajian pascasiswazah dengan tajaan Biasiswa Bitara Pasca Siswazah peringkat Sarjana selama dua tahun bernilai RM42,225 atau Doktor Falsafah (3 tahun) bernilai RM103,700.

"Penawaran insentif kecemerlangan itu ditawarkan secara terbuka bermula 1 September 2021 hingga 31 Disember 2024," jelasnya.

Tawaran itu, katanya, bagi membolehkan Azizulhasni memberi fokus dan tumpuannya meraih pingat emas pertama negara di Olimpik Paris 2024.

Azizulhasni yang berjaya mengharumkan nama negara menerusi berbasikal trek di Olimpik Tokyo 2020 itu dilihat terharu apabila diraikan pada sesi penghargaan berkenaan.

Sementara itu, Azizulhasni juga teruja dengan segala kemudahan sukan yang ada di UPSI Sport City, Kampus Sultan Azlan Shah kerana ia memberikan manfaat terhadap kemajuan sukan bukan sahaja untuk mahasiswa UPSI, malahan masyarakat sekitar dan penggiat sukan seluruh negara.

Sejurus tamat sesi penyerahan surat tawaran, Azizulhasni dibawa melawat Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, UPSI Sport City seterusnya disusuli sesi perkongsian pengalaman kejayaan dalam bidang sukan, 'From Zero To Hero' secara dalam talian anjuran Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKj) dan Persatuan Sains Sukan.

Antara kisah yang memberi inspirasi ialah bagaimana kesungguhannya untuk bersaing dalam sukan dipelopori oleh masyarakat Eropah yang mempunyai kelebihan fizikal dan petua kejayaan 4D (Discipline, Determination, Dedication dan Direction) yang menjadi pegangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 7:17 PM