Aksi Simona Halep dari Romania di Lindner Family Tennis Center dekat Mason, Ohio. FOTO AFP
Aksi Simona Halep dari Romania di Lindner Family Tennis Center dekat Mason, Ohio. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Simona Halep melakar kemenangan pertama sejak mengalami kecederaan betis Mei lalu ketika finalis tiga kali kejohanan itu menewaskan Magda Linette 6-4, 3-6, 6-1 di ATP-WTA Cincinnati Masters.

Simona hanya kembali ke jelajah di Montreal, minggu lalu, sebelum tewas pada pusingan pembukaan.

Dia kembali yakin dengan peningkatan yang ditunjukkan selepas kecederaan di Rome tiga bulan lalu.

Sensasi Romania itu menewaskan lawan dari Poland buat kali kedua, dalam masa dua jam ketika aksi terganggu dengan cuaca hujan.

"Ia adalah perlawanan yang sengit. Pada pandangan saya, kedua-dua kami beraksi dengan baik," kata pemain berusia 29 tahun itu.

"Mungkin hujan yang menangguhkan perlawanan membantu saya untuk mendapatkan sedikit tenaga semula. Saya lebih kuat sedikit dari aspek fizikal dan mental dalam set ketiga.

"Ia membawa makna yang cukup besar, saya sangat gembira dapat mencatat kemenangan. Sangat penting untuk beroleh kejayaan apabila anda kembali daripada kecederaan.

"Ini adalah kali pertama dalam hidup saya mempunyai masalah seperti ini dan saya tidak tahu bagaimana menguruskannya.

"Tapi saya gembira dapat kembali, gembira dapat beraksi tanpa kesakitan. Saya hanya perlu membina keyakinan kembali."

Pemain pilihan ke-12 yang juga bekas pemain nombor satu itu beraksi pada final Cincinnati 2015, 2017 dan 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 9:11 AM