GIMNAS AS, Simone Biles bersorak menyokong rakan sepasukan selepas menarik diri akibat masalah kesihatan mental di Tokyo 2020. FOTO AFP
GIMNAS AS, Simone Biles bersorak menyokong rakan sepasukan selepas menarik diri akibat masalah kesihatan mental di Tokyo 2020. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, hari ini berkata, gimnas ternama, Simone Biles menunjukkan 'semangat Sukan Olimpik pada tahap terbaik' ketika bersorak menyokong gimnas lain selepas diketepikan kerana masalah kesihatan mental di Tokyo 2020.

Bach berkata, Simone menunjukkan keberanian terhebat apabila mengakui dia tidak cergas untuk bertanding sebelum pergi ke tempat duduk pada ketika rakan sepasukan dari Amerika Syarikat (AS), Sunisa Lee menang emas keseluruhan, semalam.

Simone yang juga pemenang empat pingat emas Sukan Olimpik kini berdepan masalah 'twisties' iaitu kekangan mental yang memberi kesan kepada penilaian serta agakan gimnas ketika berpusing di udara.

"Saya dapat katakan, kami bersamanya dan berharap dia segera pulih," kata Bach kepada agensi berita di Tokyo.

Bach turut mengakui bercakap dengan Simone selepas dia menarik diri acara berpasukan pada Selasa lalu dan dia kemudian menarik diri dalam semua acara individu.

"Saya cukup kagum dengan cara dia menangani situasi ini," katanya.

"Perkara utama, dia mengaku mengalami masalah kesihatan itu. Ini adalah satu keberanian yang nyata. Siapa yang berani tampil mengaku mengalami masalah kesihatan mental?

"Kemudian, dia bersorak ketika rakan sepasukannya bertanding sebelum berdiri di sana dan menyokong penggantinya yang menang emas di final acara keseluruhan.

"Ini adalah kualiti kemanusiaan yang hebat dan inilah semangat Olimpik pada tahap terbaik."

Kesihatan mental antara perkara utama di Olimpik selepas peserta berdepan situasi asing berikutan pandemik Covid-19 dan hidup dalam kawalan ketat gelembung sukan di Tokyo.

Penonton tidak dibenarkan hadir ke gelanggang manakala atlet disaring setiap hari dan mesti memakai pelitup muka apabila tidak bertanding, berlatih, makan atau tidur dan jika diuji positif, impian mereka di Tokyo 2020 terus berkubur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 10:54 PM