Keadaan berhampiran National Stadium dekat Tokyo. FOTO Agensi
Keadaan berhampiran National Stadium dekat Tokyo. FOTO Agensi
AFP

Prague: Jurulatih bola tampar pantai Republik Czech, Simon Nausch diuji positif Covid-19 di Perkampungan Sukan Olimpik Tokyo hari ini, sehari selepas salah seorang pemainnya diuji positif.

"Sekurang-kurangnya kami tahu ujian setiap hari ini berkesan dan berjaya mengesan kes positif lebih awal. Ia agak mengecewakan kami tetapi kami akan menanganinya." kata ketua pasukan Olimpik Czech, Martin Doktor dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Nausch sudah meninggalkan Perkampungan Olimpik untuk pengasingan kendiri dan mereka yang mempunyai kontak rapat akan menjalani pengasingan diri.

Ia adalah kes kelima dikesan di Perkampungan Sukan. Dua membabitkan pemain bola sepak Afrika Selatan dan seorang penganalisis video turut disahkan positif.

"Berikutan kes terdahulu dalam pasukan kami, kami lebih berhati-hati. Malangnya ia tidak berkesan tetapi saya sangat bersyukur kerana menjalani pengasingan sebelum menjangkiti atlet lain dalam sukan ini," kata Nausch dalam satu kenyataan.

Pengumuman itu hadir sehari selepas pemain bola tampar pantai Czech, Ondrej Perusic diuji positif dekat Perkampungan Olimpik.

Majlis Olimpik Czech sebelum ini memberitahu seorang kakitangannya turut positif sejurus tiba di Tokyo minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 10:31 PM