Oleh Ferzalfie Fauzi


Putrajaya: Chef de Mission Sukan SEA 2015 Singapura, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap tiga atlet yang menggambil suplemen tambahan tidak disyorkan jika mereka didapati positif ujian doping.

“Sampel tiga atlet itu setakat ini bukannya positif kerana masih perlu diuji sebelum disahkan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS). Tapi jika sah kami akan ambil tindakan tegas,” katanya selepas merasmikan kem latihan akhir atlet negara, semalam.

Jelasnya, kira-kira 95 peratus iaitu 456 daripada keseluruhan 495 atlet sudah menjalani ujian dan semuanya negatif.

“Kita mensasarkan keputusan bersih 100 peratus dalam ujian doping untuk atlet yang mengambil bahagian di Singapura,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan sampel air kencing tiga atlet masih belum mendapat pengesahan kerana dikatakan mengambil suplemen bukan diberikan Institut Sukan Negara (ISN).

Laporan itu turut menekankan tiga atlet berkenaan akan disingkirkan daripada skuad Sukan SEA jika ujian air kencing mereka didapati positif.

Sementara itu, Ketua Unit ADAMAS Nishel Kumar berkata, sampel dijalankan setakat ini semuanya menghasilkan keputusan negatif.

“Penyertaan tiga atlet itu akan disekat jika mereka didapati terus menggunakan suplemen yang tidak disyorkan. Kami sudah mengarahkan mereka untuk berhenti menggunakannya,” katanya.

Norza turut menjelaskan sembilan sukan tidak menyertai kem terakhir bermula semalam disebabkan masih menjalani latihan serta pertandingan di dalam dan luar negara.

Antara sukan terbabit ialah terjun, berbasikal, bola tampar, gimrama, golf, pingpong, skuasy, tenis dan tinju.

“Saya bagaimanapun sangat berpuas hati dengan kehadiran 413 atlet dan 90 pegawai hari ini.

“Hanya ini tempat kita berkumpul sebelum bermula Sukan SEA kerana di Singapura tiada perkampungan sukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2015 @ 5:14 AM