Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Prestasi atlet kurang memuaskan atau berada di bawah paras sebenar menuntut Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu melakukan sesuatu untuk perbaiki setiap kelemahan dan kekurangan yang ada.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, prestasi beberapa atlet olahraga negara ketika ini dilihat kurang menyerlah sekali gus gagal mencipta kejayaan atau rekod terbaik seperti yang diharapkan.

Beliau berkata, KOM boleh melihat perkara terbabit dan memperbaiki prestasi atlet supaya mereka berada pada tahap terbaik.

"Banyak yang saya saksikan dan keputusan dimaklumkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN)… KOM perlu lihat secara lebih terperinci sebab setakat ini tahap atlet berada di bawah Par (paras) sebenar berdasar pencapaian atau aksi mereka.

"Jadi berharap KOM boleh lihat semua dan sediakan program bersama MSN untuk pastikan atlet olahraga kita berada pada tahap lebih baik," katanya.

Sementara itu, Reezal berkata, beliau percaya jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei layak ke Olimpik berdasarkan pencapaiannya ketika ini.

"Tahniah kepada olahraga kerana mendapat tiket secara 'wildcard' dan tahniah juga kepada Hup Wei dan percaya dengan kedudukannya ketika ini akan layak secara merit," katanya.

Mengikut rekod, kem olahraga ketika ini hanya bersandarkan kepada Hup Wei yang juga juara Asia 2007 dan pemenang tiga pingat emas Sukan Sea untuk mewakili negara di Tokyo.

Atlet kelahiran Selangor itu pernah menyertai Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012, serta menghuni ranking ke-20 dunia dengan 1,235 mata.

Manakala seorang lagi jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa yang memenangi pingat emas di Siri Grand Prix Tatabanya baru-baru ini berada di ranking ke-46 dengan 1,176 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 6:23 PM