MICKELSON melakukan pukulan ketika sesi latihan di  Torrey Pines Golf Course di San Diego, California.  FOTO AFP
MICKELSON melakukan pukulan ketika sesi latihan di Torrey Pines Golf Course di San Diego, California. FOTO AFP
AFP

La Jolla, Amerika Syarikat: Phil Mickelson meraikan hari jadi ke-51 semalam dengan melakukan persiapan akhir menjelang Terbuka AS hari ini dalam misi mencipta lebih banyak sejarah di Torrey Pines.

Mickelson muncul juara kejohanan utama paling tua selepas mengungguli PGA bulan lalu dan pemain kidal itu juga pemain tertua yang beraksi di lapangan pesisir pantai kali ini.

"Ia peluang unik kerana saya tak pernah menjuarai Terbuka AS,'' kata Mickelson. "Saya mempunyai peluang untuk lebih bersedia dan saya akan pastikan semuanya berjalan seperti dirancang.

"Saya melupakan banyak perkara lain bagi menumpukan kejohanan ini sekali gus membolehkan saya pamer aksi terbaik.''

Mickelson boleh melengkapkan karier Grand Slam dengan menjuarai Terbuka AS dan mengikut jejak Tiger Woods, Jack Nicklaus, Ben Hogan, Gary Player dan Gene Sarazen.

Tetapi dia mempunyai sejarah duka di kejohanan itu apabila enam kali menduduki tempat kedua dengan yang terbaru di Merion pada 2013.

Bagaimanapun, Mickelson yang dibesarkan hanya beberapa kilometer dari Torrey Pines tetap kekal sebagai pilihan utama selepas muncul juara di Kiawah Island.

"Beraksi di kejohanan ini sebagai pemenang kejohanan utama terbaru memang istimewa," kata Mickelson

Pemain nombor 30 dunia itu menjuarai tiga kejohanan PGA AS di Torrey Pines tetapi gagal melakukannya sejak lapangan itu diubah suai sejak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 11:17 AM