BERNAL pasukan Ineos disahkan positif Covid-19 beberapa hari selepas muncul juara Giro d’Italia 2021. FOTO AFP
BERNAL pasukan Ineos disahkan positif Covid-19 beberapa hari selepas muncul juara Giro d’Italia 2021. FOTO AFP
AFP

Bogota: Juara Giro d'Italia, Egan Bernal berkata, dia baru saja sembuh dari penyakit Covid-19 dan sudah kembali menyambung latihan.

"Saya mahu memberitahu anda semua, saya sekarang sudah bebas dari jangkitan Covid-19," kata pelumba berusia 24 tahun itu di Instagram.

Dia dan teman wanitanya, Maria Fernanda Gutierrez disahkan positif Covid-19 4 Jun lalu, hanya beberapa hari selepas muncul juara di Itali.

Kedua-duanya hanya mengalami simptom sederhana namun menangguhkan penerbangan untuk pulang semula ke Colombia tatkala beberapa siri keraian sudah dirancang.

Bernal dikuarantin di Monaco iaitu lokasi yang menjadi pangkalannya jika berada di Eropah.

Dia meraih kejayaan di Giro Mei lalu selepas mendominasi dua minggu pertama perlumbaan, sebelum mengukuhkan cengkaman selepas dicabar pelumba Britain, Simon Yates dan wakil tuan rumah, Damiano Caruso ketika di hujung saingan.

Bernal mula menonjol dirinya selepas muncul juara Tour de France 2019, selepas mengetepikan rakan sepasukan dan sekarang ini penyandang juara, Geraint Thomas.

Dia juga menjadi pelumba Amerika Latin pertama memenangi perlumbaan berprestij itu dan muncul juara termuda sejak 1909 pada usia 22 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 7:22 AM