MOHD Futra akui terkejut dengan kemelut yang melanda sukan sepak takraw negara. FOTO Malik Muhamad
MOHD Futra akui terkejut dengan kemelut yang melanda sukan sepak takraw negara. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bekas perejam emas negara, Mohd Futra Abdul Ghani akui terkejut dengan kemelut yang melanda sukan sepak takraw negara sambil menyifatkan kerugian yang besar kepada pembangunan sukan itu selepas digantung sementara Persatuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Beliau juga berpandangan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan hilang kuasa dan kredibiliti sebagai badan induk sukan itu berikutan penarikan diri empat ahli gabungannya setakat ini.

Guru Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (MSST) itu menjangkakan akan ada ahli gabungan lain akan 'bercerai' dengan PSM jika badan induk itu terus membisu tanpa sebarang penjelasan berkenaan kemelut yang melanda persatuan itu.

Katanya, ini kerana ahli gabungan daripada empat negeri yang sudah berpisah dengan PSM menyatakan sudah hilang kepercayaan kepada PSM dan Presidennya Datuk Ahmad Ismail, jadi tindakan proaktif dengan memberi penjelasan seberapa segera berkenaan kemelut itu sehingga digantung sementara daripada terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan sukan itu perlu dilakukan.

"Pertama saya terkejut dengan perkembangan terkini kemelut yang melanda PSM, lebih terkejut bila empat ahli gabungan setakat ini bertindak mengumumkan keluar daripada PSM.

"Apa yang saya dapat tahu tidak ada penjelasan daripada badan induk sepak takraw negara selain hilang kepercayaan terhadap PSM dan presidennya menyebabkan empat ahli gabungan itu bertindak 'bercerai' dengan PSM.

"Situasi ini begitu memeranjatkan saya selaku bekas pemain negara kerana ia bukan hanya menggegarkan arena sepak takraw dalam negara malah juga luar negara, lebih parah ia merugikan sukan ini memandangkan kini PSM digantung sementara oleh Astaf," katanya.

Sebelum ini Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS) dan terbaharu Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak) bertindak keluar daripada menjadi ahli gabungan PSM.

Ini susulan Ahmad digantung selama 15 tahun oleh ASTAF selepas didakwa atas empat pertuduhan termasuk pelanggaran Artikel 5.5 undang-undang Astaf dengan menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dengan harapan mendapat campur tangan berhubung keputusan pemilihan Astaf pada 1 Mac lalu.

Ahmad juga turut didenda sebanyak AS$25,000 (RM102,937) bagi menampung kos pendengaran kes berkenaan selain Astaf turut mengambil tindakan menggantung sementara PSM daripada terbabit dengan sebarang aktiviti berkaitan sukan itu berkuatkuasa 28 April lalu atas dakwaan melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Istaf dan Astaf 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 7:27 PM