SHAHIRAN (dua kiri) ketika menunggu jenazah Allahyarham Haziq di rumahnya di Kampung Tersusun Serkam Darat. FOTO Nazri Abu Bakar
SHAHIRAN (dua kiri) ketika menunggu jenazah Allahyarham Haziq di rumahnya di Kampung Tersusun Serkam Darat. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: "Kami terkejut mendengar berita Haziq meninggal dunia pagi tadi," kata Shahiran Hamid, 51, ibu mentua pemanah negara, Allahyarham Haziq Kamaruddin.

Menurutnya, dia dan seisi keluarga baharu sahaja berbual menerusi panggilan video ketika sambutan Aidilfitri kira-kira jam 8.30 pagi hari raya pertama selama hampir satu jam.

Katanya, Allahyarham kelihatan sihat, ceria dan gembira bersama isterinya Shahira Abd Hallim, 27, yang juga anak ketiganya ketika berinteraksi bersama anak-anaknya yang lain.

Katanya, kali akhir dia bertemu menantunya pada Februari lalu yang pulang dan bermalam di Melaka tanpa sebarang perubahan.

"Haziq seorang menantu yang baik dan dia akan ke pasar serta membantu memasak bersama-sama setiap kali pulang ke Melaka.

PANGGILAN  video bersama Haziq yang kelihatan ceria di hari raya pertama. FOTO Ihsan Shahiran Hamid.
PANGGILAN video bersama Haziq yang kelihatan ceria di hari raya pertama. FOTO Ihsan Shahiran Hamid.

"Pemergiannya satu kehilangan besar kepada kami, peminat sukan dan negara kerana bakat besarnya dalam sukan terbabit serta pencapaian gemilangnya dalam sukan berkenaan," katanya di rumahnya di Taman Koperasi Kampung Tersusun Serkam Darat.

Hadir sama Exco NGO Pembangunan Belia dan Sukan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan ahli Dewan Undangan Negeri Serkam Datuk Zaidi Attan.

Haziq, 27, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang pada 9.37 pagi tadi selepas dilaporkan menggigil dan tidak sedarkan diri dikediamannya di Kajang.

Difahamkan beliau rebah secara tiba-tiba selepas menunaikan solat subuh dan keluar dari bilik air.

Urusan bedah siasat dilakukan petang tadi dan pengkebumian dijangka awal pagi ini di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Kampung Tersusun Serkam Darat .

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 1:26 AM