ISTERI Allahyarham Haziq, Shahira Abdul Halim (tudung putih) menyirami air mawar dan bunga di pusara arwah. FOTO Nazri Abu Bakar
ISTERI Allahyarham Haziq, Shahira Abdul Halim (tudung putih) menyirami air mawar dan bunga di pusara arwah. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pengorbanan keluarga atlet memanah negara Allahyarham Haziq Kamarudin, 27, melepaskannya kepada Majlis Sukan Negara (MSN) sejak berusia 12 tahun membolehkan atlet kebangsaan untuk berjaya mengharumkan nama negara dan layak beraksi di Olimpik sebanyak dua kali.

Kisah berkenaaan dikongsikan Kamarudin Yusof, 58 ayah Allahyarham Haziq selepas pengebumian anaknya itu di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Kampung Tersusun Serkam Darat, Merlimau awal pagi.

"Saya hanya sempat bersamanya dari darjah satu hingga enam sahaja. Selebihnya dia membesar di bawah jagaan Majlis Sukan Negara (MSN) termasuk di Sekolah Sukan Bandar Penawar, Sekolah Sukan Datuk Keramat Kuala Lumpur dan di MSN.

"Kesempatan yang singkat kami bersamanya demi untuk baktinya kepada negara. Terima kasih kepada MSN dan semua pihak yang meletakkan dia sebagai pejuang negara dalam sukan berkenaan. Bagi saya dia lahir untuk negara," katanya.

Menurutnya, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan atau tanda dia akan pergi buat selama-lamanya kerana dia kelihatan seronok dan ceria sahaja.

Malah dia sempat berbicara dengannya pada pagi satu Syawal menerusi panggilan video bersama ahli keluarga dengan menyatakan dia sihat dan tidak mengalami apa-apa masalah kesihatan.

Kamaruddin berkata, Haziq seorang anak yang baik, rajin dan dedikasi selain mengambil berat berkaitan urusan keluarga, isterinya serta keluarga mertuanya di Merlimau.

Apapun, Haziq pernah meluahkan perasaannya yang dia mahu layak beraksi di beraksi Olimpik Tokyo pada 23 Julai hingga 8 Ogos depan yang dianggap sebagai kejohanan terakhir buatnya sebelum bersara.

"Bagaimanapun kami tidak menduga ianya petanda dia akan pergi buat selama-lamanya. Ucapan berkenaan disampaikan kepada saya ketika kami ke rumahnya di Kajang Januari lalu.

"Itu juga kali akhir kami bertemunya berikutan kesibukannya dalam kerjayanya selain situasi semasa serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kami sempat bersembang bersama-sama menerusi panggilan video pada satu Syawal lalu dengan suasana ceria," katanya sayu sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit memudahkan proses pengebumian anaknya.

Haziq dilahirkan di Johor Bahru anak pasangan Kamaruddin dan isteri Rulifah Salihin, 57 ,mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Taman Tasik, Johor Baharu dengan bakatnya mula dikesan oleh guru sekolah berkenaan.

Jenazah atlet memanah negara terbabit selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Kampung Tersusun Serkam Darat, Merlimau pada 1.40 pagi tadi.

Jenazah di solatkan di Surau Al-Taqwa selepas dibawa dari Hospital Kajang sambil diiringi isterinya Shahira Abdul Halim dan Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail, keluarga dan rakan atlet ke tanah perkuburan terbabit dalam suasana pilu.

Allahyarham pernah mengharumkan nama negara dengan mencipta pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa dan turut beraksi di temasya Sukan Olimpik London 2012 dan Olimpik Rio 2016.

Selain itu, Haziq turut meraih pingat emas pada Sukan Kejohanan Memanah Asia 2011 di Tehran dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Terbaik Sekolah Sukan Bukit Jalil 2012.

Pada 2013, Haziq turut terpilih untuk menerima anugerah Atlet Remaja Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 PLUS 2012.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak sehingga urusan pengebumian selesai termasuk pihak keselamatan, KKM, ahli kariah kampung dan semua yang terbabit menerusi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Beliau berkata, Haziq dijadualkan berlepas ke Korea dan Paris menyertai kejohanan di sana bagi membolehkan dia layak ke Olimpik Tokyo selepas salah seorang rakannya yang sudah layak.

Justeru, dia mengharapkan pemanah lain akan terus berjuang dan tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan negara dan layak ke pentas berprestij terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 12:38 PM