REAKSI Pidcock ketika tiba di garisan penamat. FOTO AFP
REAKSI Pidcock ketika tiba di garisan penamat. FOTO AFP
AFP

Brussels: Tom Pidcock berkata, dia terkejut dengan kemampuannya menewaskan Wout Van Aert di perlumbaan Brabantse Pijl sekali gus kemenangan pertamanya bersama Ineos sejak bertukar profesional pada Februari lalu.

Pelumba Britain berusia 21 tahun itu mengatasi cabaran sengit ketika menuju garisan penamat dengan pelumba Itali, Matteo Trentin menduduki tempat ketiga.

Pidcock yang berusia 21 tahun sentiasa mengekori rapat pelumba Jumbo-Visma, Van Aert, 26, pada 200 meter terakhir.

"Saya sabar dan menunggu detik sesuai untuk memintas Wout," kata Pidcock.

"Menewaskan Wout van Aert ketika pecutan memang mengejutkan tetapi saya bertuah dia berbuat demikian lebih awal."

Pada musim pertamanya bersama Ineos, Pidcock mencuri tumpuan sebagai pelumba rookie dengan kejayaan di Strade Bianche (ke-5) dan Kuurne-Brussels-Kuurne (ke-3).

Sementara itu, pelumba UAE Team Emirates, Trentin menganggap Pidcock memang berhak menang selepas dia yang mendahului seketika perlumbaan gagal mengekalkan momentum dan membenarkan Van Aert dan Pidcock mengejarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 1:48 PM