PENGANJURAN GP Malaysia pada 2019. FOTO Owee Ah Chun
PENGANJURAN GP Malaysia pada 2019. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia yang berlangsung minggu depan sudah tentu menjadi tumpuan kepada atlet negara membuktikan keupayaan masing-masing seterusnya berusaha terpilih ke temasya Sukan Sea Hanoi hujung tahun ini.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu berkata, kejohanan kali pertama yang dianjurkan selepas hampir setahun itu akan menghimpunkan hampir 60 atlet dari seluruh negara.

Beliau berkata, kejohanan terbabit juga boleh dikatakan sebagai permulaan kepada lebih banyak lagi pertandingan peringkat kebangsaan akan diadakan pada masa akan datang untuk memastikan atlet kembali mencapai kemuncak prestasi.

Katanya, atlet yang akan bertanding nanti membabitkan 40 atlet kebangsaan manakala 20 lagi adalah penyertaan daripada negeri.

"Sudah pastinya kejohanan ini begitu dinantikan oleh atlet kerana menjadi medan kepada mereka untuk menguji kemampuan masing-masing seterusnya menempah tiket ke temasya Sukan Sea nanti.

"Kami akan pastikan setiap individu yang terbabit dengan kejohanan ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang ia berlangsung.

"Pada masa sama, kami berharap setiap atlet dapat mempamerkan aksi terbaik kerana kejohanan ini juga turut menjadi titik tolak kepada pemilihan untuk menyertai pertandingan lain di peringkat antarabangsa," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Muthu berkata, sebanyak 27 acara akan dipertandingkan merangkumi 100 meter (m), 400m, 800m, lompat tinggi dan lempar cakera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 6:17 PM