Presiden KOM Datuk SM Muthu
Presiden KOM Datuk SM Muthu
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jangan terlalu 'seronok' menggunakan media sosial untuk membincangkan atau menghentam pihak tertentu hingga mengundang tanggapan negatif orang ramai.

Itu peringatan yang diberikan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu kepada atlet di bawah naungan badan induk olahraga negara itu yang gemar menggunakan platform seperti Facebook dan Instagram untuk menyatakan rasa tidak puas hati kepada pihak tertentu.

Beliau berkata, semua atlet di bawah naungan badan induk itu seharusnya mematuhi surat aku janji yang ditandatangani mereka sebelum ini.

"Isu ini timbul apabila jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa kecewa gagal beraksi apabila tidak dapat menyertai Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia 2022 namun hakikatnya tempoh terlalu suntuk sekali gus mungkin akan timbul masalah lain jika dia menyertainya.

"Jika tidak berpuas hati dengan pihak tertentu atau KOM, hubungi kami untuk membincangkan jalan penyelesaian atau mendapatkan penjelasan.

"Apa yang saya tengok sekarang ini, jika tidak berpuas hati, terus menulis di media sosial sekali gus memberi kesan negatif dan tanggapan buruk," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Nauraj kecewa apabila tidak dapat menyertai Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia 2022 yang dijadual berlangsung di Belgrade, Serbia dari esok hingga 20 Mac ini.

Meskipun dikatakan layak, dia yang berpangkalan di Jerman tampak berdukacita apabila namanya didakwa ditolak Kesatuan KOM atas beberapa sebab antaranya membabitkan isu visa.

Namun, KOM tampil menjelaskan keputusan untuk tidak mendaftarkan Nauraj beraksi di kejohanan terbabit disebabkan tempoh masa singkat bagi urusan permohonan visa atlet berkenaan.

Muthu berkata, KOM hanya menerima surat daripada Olahraga Dunia (WA) yang memaklumkan Nauraj layak beraksi pada 9 Mac lalu iaitu seminggu sebelum kejohanan itu dijadualkan bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 8:41 PM