Khabib Nurmagomedov. FOTO File Agensi
Khabib Nurmagomedov. FOTO File Agensi
Agensi

London: Dana White mendedahkan dia akan mengadakan pertemuan dengan Khabib Nurmagomedov dalam percubaannya untuk memujuk atlet seni bela diri campuran (MMA) dari Rusia itu keluar daripada persaraannya.

Presiden UFC itu tampak kehilangan salah satu sumber promosi pertarungan terbaiknya.

Khabib, 32, mengumumkan persaraan dari MMA selepas menewaskan Justin Gaethje pada Oktober lalu.

Dia maklumkan sudah berjanji dengan keluarga susulan kematian tragik bapanya merangkap jurulatih dan mentor dalam sukan itu, Abdulmanap awal tahun ini kerana jangkitan Covid-19.

Namun White berharap dapat meyakinkan Khabib untuk membuat pusingan U.

Katanya: "Saya memberi peluang dan masa kepada Khabib untuk memikirkan mengenai perkara ini.

"Dia dan saya akan berjumpa dan berbincang tidak lama lagi... kami akan bercakap mengenainya."

Juara lightweight UFC itu melebarkan rekod 29-0 menerusi kemenangan ke atas Gaethje di Abu Dhabi dan selepas itu dia membuat keputusan mengejutkan dengan mengumumkan persaraannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 12:35 PM