Khabib Nurmagomedov (tengah) memiliki rekod kemenangan 29-0. FOTO File Agensi
Khabib Nurmagomedov (tengah) memiliki rekod kemenangan 29-0. FOTO File Agensi
Agensi

Paris: Khabib Nurmagomedov sudah 100% bersara secara rasmi kata Presiden UFC, Dana White.

Khabib, 32, mengumumkan persaraannya selepas menewaskan Justin Gaethje di UFC 254 pada Oktober lalu untuk mengekalkan kejuaraan lightweight dan melanjutkan rekod sempurna kepada 29.

"29-0 itu sahaja," kata White menerusi Twitter.

Menurut ESPN, Charles Oliveira dan Michael Chandler bertarung bagi kejuaraan lightweight yang ditinggalkan kini di UFC 262 pada 15 Mei depan.

White sebelum ini berkata, dia berharap atlet seni bela diri campuran dari Russia itu keluar dari persaraan untuk memburu 30 kemenangan, tetapi akhirnya menerima keputusan karier Khabib berakhir.

"Dia secara rasmi sudah bersara 100%," tambahnya.

"Amat menakjubkan untuk melihat aksi Khabib. Terima kasih atas segalanya dan bergembira dengan segala yang anda lawan sahabat."

Khabib memberikan bayangan jelas persaraannya adalah muktamad dan tidak bertarung lagi di UFC dan menyifatkan mencapai segalanya dalam sukan itu.

"Saya tak mahu berentap dengan sesiapa pencabar lagi," katanya.

Kali terakhir Khabib bertarung pada Oktober 2020 apabila dia menewaskan Justin Gaethje dan kemudian melutut di oktagon sambil mengalirkan air mata ketika mengenang kematian bapanya, Abdulmanap.

Juara lightweight UFC itu membuat keputusan persaraan mengejut dengan mengatakan dia tidak mampu bertarung lagi tanpa bapa dan sebagai menunai janji kepada ibunya.

Persaraan Khabib mengakhiri dominasi karier MMA bersama rekod cemerlang dengan 29 kemenangan (lapan KO, 11 submission dan 10 decision), tanpa kalah.

Jaguh berusia 32 tahun itu kekal figura terkenal dalam sukan itu dan pada Disember lalu, dia membuka syarikat sukan tempurnya sendiri, Eagle Fighting Championships.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 9:34 PM