Sekalipun sudah mengumumkan persaraan Khabib masih menjalani ujian doping. FOTO Agensi
Sekalipun sudah mengumumkan persaraan Khabib masih menjalani ujian doping. FOTO Agensi
Agensi

Los Angeles: Khabib Nurmagomedov mendedahkan dia masih menjalani ujian doping sekalipun sudah mengumumkan persaraan daripada saingan UFC.

Juara lightweight itu, berkata ia adalah ujian ke-47 yang dilakukannya dengan Agensi Anti-Doping Amerika Syarikat (USADA) sejak 2015.

Khabib memuat naik gambar di media sosial dengan beberapa dokumen di atas meja dipercayai borang bagi melakukan ujian berkenaan.

Keterangan gambar itu menyatakan: "Ini adalah kali ke-47 sejak 2015 saya menjalani ujian doping dengan USADA.

"Cuba fikir mengenai angka ini."

Masa depan atlet seni bela diri campuran berusia 32 tahun itu dalam saingan UFC masih mencetuskan tanda-tanya biarpun dia mengumumkan persaraannya selepas merekod kemenangan 29-0 dengan mengalahkan Justin Gaethje, 31, Oktober lalu.

Ia adalah pertarungan pertamanya sejak bapa yang juga mentornya, Abdulmanap meninggal dunia pada usia 57 tahun, Julai lalu akibat jangkitan Covid-19.

Atlet dari Rusia itu mengakui dia tidak boleh lagi bertarung tanpa kelibat mentornya itu.

Bagaimanapun, Presiden UFC, Dana White percaya Khabib akan membuat kemunculan semula bagi merekodkan kemenangan ke-30 yang turut menjadi impian bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 2:15 PM