HUKUMAN Jack dikurangkan oleh CAS. FOTO Agensi
HUKUMAN Jack dikurangkan oleh CAS. FOTO Agensi
AFP

Lausanne: Perenang Australia, Shayna Jack, ahli dalam kuartet 4x100 gaya bebas yang memecahkan rekod dunia, dikurangkan hukuman penggantungan doping kepada dua tahun oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Jack sebelum ini digantung oleh Persatuan Renang Australia selama empat tahun selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang membina otot (ligandrol) dalam satu ujian yang dilakukan di luar pertandingan pada Jun 2019.

Dia mendakwa bahan berkenaan berada dalam badannya secara tidak sengaja dan berusaha untuk membersihkan namanya.

CAS yang berpusat di Lausanne menyimpulkan bahawa 'berdasarkan sebarang kemungkinan' Jack 'tidak sengaja memakan ligandrol' dan mengurangkan larangannya kepada dua tahun sejak 12 Julai 2019.

Ini bermakna dia boleh beraksi (secara teori) di Olimpik Tokyo yang ditangguhkan dan akan membuka tirai pada 23 Julai 2021.

Bagaimanapun, dia tidak boleh mengambil bahagian untuk saingan kelayakan pada bulan-bulan sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 8:18 PM