MAHKAMAH menolak rayuan Sun Yang. -FOTO AFP
MAHKAMAH menolak rayuan Sun Yang. -FOTO AFP
AFP

Lausanne: Permohonan rayuan hukuman kesalahan doping oleh perenang yang juga juara Olimpik tiga kali dari China, Sun Yang yang digantung sehingga Jun 2024 ditolak oleh Mahkamah Persekutuan Switzerland.

Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) adalah 'tidak bertentangan dengan prinsip asas undang-undang' dan hak Sun Yang untuk didengari 'tidak dilanggar' jelas Mahkamah Switzerland itu.

CAS menggantung Sun pada Jun tahun lalu apabila enggan memberikan sampel ketika ujian doping dilakukan.

Pada akhir kes yang penuh dengan kontroversi itu, mahkamah yang berpangkalan di Lausanne mengurangkan hukuman asal selama lapan tahun selepas Sun, 30, membuat rayuan kepada mahkamah persekutuan Switzerland atas dakwaan berat sebelah.

Hukuman baru yang dijatuhkan iaitu empat tahun tiga bulan bertarikh Februari 2020, memutuskan pemegang rekod dunia 1,500 meter gaya bebas itu tidak dapat menyertai Olimpik Tokyo dan Sukan Asia 2022 di bandar kelahirannya Hangzhou.

Sun yang digantung tiga bulan pada 2014 kerana kesalahan doping yang berasingan, bagaimanapun dapat kembali beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 biarpun ketika itu dia sudah berusaha 32 tahun.

Sun sentiasa dilanda kontroversi sepanjang kariernya dan menyatakan tidak bersalah ketika pemeriksa doping berkunjung ke rumahnya pada September 2018 untuk melakukan ujian.

Juara dunia 11 kali itu berkata, pegawai berkenaan tidak layak atau tidak diiktiraf.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 12:46 PM