AHMAD Shapawi mengucapkan jutaan terima kasih kepada KBS kerana berjaya meyakinkan kerajaan untuk memperuntukkan RM55 juta untuk program pembangunan. FOTO NSTP
AHMAD Shapawi mengucapkan jutaan terima kasih kepada KBS kerana berjaya meyakinkan kerajaan untuk memperuntukkan RM55 juta untuk program pembangunan. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat dan Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pembentangan belanjawan bagi 2021 dilihat sebagai satu yang cukup sempurna kerana mengambil kira semua aspek secara keseluruhannya ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam satu kenyataan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana berjaya meyakinkan kerajaan untuk memperuntukkan RM55 juta untuk program pembangunan.

Antara sukan terbabit adalah hoki, ragbi, berbasikal, pembangunan atlet wanita termasuk juga pembangunan e-Sukan bagi tahun 2021.

"Satu perbincangan lanjut akan bersama menteri (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan program pembangunan atlet.

"Ini kerana kami turut mengemukakan beberapa program pembangunan sukan pilihan yang lain seperti badminton, olahraga, golf, akuatik dan beberapa sukan teras yang lain untuk menyediakan barisan atlet pembangunan dan pelapis yang lebih berdaya saing," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, program persediaan atlet senior khususnya program Podium akan diteruskan di bawah belanja pembangunan sedia ada sambungan dari RMK11 termasuk juga program NFDP@AMD di Gambang.

"Secara keseluruhannya MSN melahirkan kesyukuran bahawa dalam keadaan yang sukar ketika ini, kerajaan tidak melupakan kepentingan sukan prestasi tinggi dan harapan kita bahawa kita akan membawa kejayaan sukan negara bagi membalas keyakinan yang diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 9:13 PM