MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika sidang media mengenai masa depan NFDP selepas gagal layak ke Piala Dunia B-17 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika sidang media mengenai masa depan NFDP selepas gagal layak ke Piala Dunia B-17 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Azlan Muhammad Zain


PUTRAJAYA: Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) secara keseluruhannya sudah membelanjakan kira-kira RM80 juta sejak mula ditubuhkan pada 2014.

Kos berkenaan tidak termasuk pembinaan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang.

Salah satu sasaran NFDP adalah mara ke Piala Dunia B-17 di Peru namun ia gagal selepas skuad negara B-16 terkandas pada peringkat kumpulan pagi tadi.

"Kita sudah membelanjakan berpuluh juta ringgit namun masih di sini. Jelas perlu ada penstrukturan semula kerana kita tidak berada pada kedudukan yang selesa atau selamat. Banyak yang perlu dilakukan.

"Kita tidak boleh menghentikan NFDP kerana ia adalah program yang bagus. Ia  pembangunan akar umbi yang membabitkan seluruh negeri. Namun perlu ada penstrukturan semula dan perbincangan rapi bersama pihak berkepentingan untuk melangkah ke depan," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Jelasnya, satu jawatankuasa khas membabitkan NFDP, Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pihak berkepentingan lain termasuk bakal penaja akan bertemu pada 15 Oktober nanti bagi membincangkan hala tuju.

Tambah Syed Saddiq, kerajaan terdahulu menjanjikan RM20 juta setiap tahun kepada NFDP.

"Bagaimanapun NFDP hanya menerima RM10 juta (2014), RM7 juta (2015), RM3.5 juta (2016) dan RM3.5 juta (2017)," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 6:34 PM