REEZAL bersyukur kerana belanjawan 2021 ini dapat dirangka dengan iltizam politik yang cukup berhemah. FOTO NSTP
REEZAL bersyukur kerana belanjawan 2021 ini dapat dirangka dengan iltizam politik yang cukup berhemah. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat dan Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Belanjawan 2021 yang diperuntukkan membabitkan pelbagai sektor sukan di negara ini disambut baik oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, belanjawan itu membuktikan bahawa kerajaan mendengar keluh kesah rakyat akibat daripada penularan pandemik Covid-19 dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Saya berterima kasih kepada pihak Kementerian Kewangan kerana secara tuntasnya mengambil kira hampir keseluruhan permintaan atau harapan rakyat khususnya berkaitan belia dan sukan.

"Belanjawan ini menunjukkan bahawa kerajaan turut berusaha usaha membangun dan memulih ekosistem sukan pasca pandemik Covid-19 apabila mendapat perhatian yang sewajarnya," katanya.

Sebanyak RM240 juta diperuntukkan pada belanjawan 2021 khususnya bagi sektor sukan di negara ini menyaksikan peruntukan membabitkan beberapa pecahan.

Ia merangkumi RM28 juta bagi pelaksanaan program MyFit, Hari Sukan Negara dan Program Inspire OKU.

RM103 juta untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan seluruh negara.

RM55 juta disediakan bagi program pembangunan sukan hoki, ragbi, badminton, berbasikal, pembangunan atlet wanita termasuklah RM15 juta kepada pembangunan e-Sukan.

RM20 juta disediakan sebagai pinjaman mudah di bawah skim TEKUN Sukan untuk memastikan kelangsungan operator fasiliti sukan manakala RM19 juta diperuntukkan bagi melaksanakan Agenda Nasional Malaysia Sihat bagi tujuan memantapkan amalan gaya hidup sihat.

"Secara keseluruhannya, saya amat bersyukur kerana belanjawan 2021 ini dapat dirangka dengan iltizam politik yang cukup berhemah, mengambil kira keluhan dan keresahan rakyat serta pendekatan-pendekatan (measures) bersasar yang memberi impak tinggi.

"Saya mewakili KBS merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan kerajaan dan kesungguhan Kementerian Kewangan menyediakan peruntukan yang realistik dengan mengambil kira keperluan semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 8:20 PM