AZIZULHASNI merasakan ia akan memberi manfaat kepada seluruh warga sukan khususnya di peringkat akar umbi. FOTO AFP
AZIZULHASNI merasakan ia akan memberi manfaat kepada seluruh warga sukan khususnya di peringkat akar umbi. FOTO AFP
Aida Adilah Mat dan Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi nafas baru buat sukan berprestasi tinggi yang memberi pengkhususan dalam program pembangunan.

Ia turut diperakui oleh jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang yang merasakan ia akan memberi manfaat kepada seluruh warga sukan khususnya di peringkat akar umbi.

Bagi pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio dalam acara keirin itu, dia berharap dengan belanjawan RM55 juta yang diperuntukkan itu akan dapat melahirkan lebih ramai juara yang akan menjulang nama negara.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tengku Zafrul di atas pembentangan bajet 2021 bagi pihak kerajaan.

"Saya berharap bajet 2021 untuk sukan pada tahun ini akan memberikan penuh manfaat kepada seluruh warga sukan khususnya di program pembangunan dan akar umbi bagi melahirkan bakal bakal juara," katanya.

Sementara itu Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata, PKBM akan bertemu dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk melihat perincian tentang peruntukan berkenaan.

"Kami akan mendapatkan secara terperinci berhubung peruntukan yang diberikan bagi pembangunan sukan berbasikal, bagaimana dengan atlet berprestasi tinggi dan sebagainya.

"Selain itu, kami ingin tahu adakah ia membabitkan atlet kita ke Sukan Olimpik Tokyo 2021 sebab peruntukan ke temasya itu sudah ada. Apa pun saya ucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada kerajaan atas Belanjawan 2021 ini," katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, program pembangunan akar umbi boleh diteruskan seperti biasa dalam usaha melahirkan pemain badminton berkebolehan pada masa akan datang.

"Kerajaan masih mengutamakan pembangunan akar umbi walaupun ketika ini kita sedia maklum negara berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama berkaitan penularan pandemik Covid-19.

"BAM akan meneruskan agenda pembangunan badminton seperti yang dirancang malah aktiviti dan program turut akan diperbanyakkan lagi demi melahirkan lebih ramai pemain yang boleh menggalas cabaran negara," katanya.

Perkara sama turut diluahkan Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk S Shamala yang sememangnya mahu pembangunan akar umbi diteruskan menerusi pemberian bantuan dalam pembentangan Belanjawan 2021.

"Kerajaan turut bersependapat dengan persatuan yang mahukan pembangunan sukan diteruskan supaya tidak ketinggalan dan pemain pelapis yang berkebolehan boleh dihasilkan menerusi aktiviti dan program yang dirangka nanti.

"Ketika pandemik Covid-19 melanda negara, sudah tentu pelbagai aktiviti sukan terpaksa dihentikan termasuk program pembangunan sekali gus memerlukan perancangan lebih sistematik pada tahun depan termasuklah sumber dana yang kukuh," katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amrul Hazarin Hamidon berkata, ragbi yang boleh dikatakan 'sendu' pada tahun ini sememangnya memerlukan suntikan dana bagi memastikan aktiviti atau program boleh diteruskan pada 2021.

"Pada tahun ini boleh dikatakan hampir semua aktiviti atau program ragbi terpaksa dibatalkan akibat pandemik Covid-19 malah suntikan dana juga kurang terutama daripada sektor korporat.

"Oleh itu, penting kepada kami untuk memperoleh suntikan dana supaya program akar umbi termasuk pembangunan ragbi wanita boleh diteruskan tanpa sebarang masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 9:07 PM