MOHAMAD NORZA ZAKARIA
MOHAMAD NORZA ZAKARIA
Aida Adilah Mat dan Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Industri sukan terutama berprestasi tinggi tidak pernah dianaktirikan apabila kerajaan dalam kekalutan mengawal penularan Covid-19 masih berupaya memperuntukkan RM55 juta dalam pembentangan Belanjawan 2021, semalam untuk program pembangunan sukan hoki, badminton, ragbi, berbasikal, atlet wanita, termasuk RM15 juta bagi e-sukan.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, program pembangunan akar umbi boleh diteruskan seperti biasa dalam usaha melahirkan pemain badminton berkebolehan pada masa akan datang.

"Kerajaan masih mengutamakan pembangunan akar umbi walaupun ketika ini negara kita berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama berkaitan penularan pandemik Covid-19.

"BAM meneruskan agenda pembangunan badminton seperti dirancang, malah aktiviti dan program turut diperbanyakkan lagi demi melahirkan lebih ramai pemain yang boleh menggalas cabaran negara," katanya.

Perkara sama turut diluahkan Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Dr S Shamala yang sememangnya mahu pembangunan akar umbi diteruskan menerusi pemberian bantuan dalam pembentangan Belanjawan 2021.

"Kerajaan turut bersependapat dengan persatuan yang mahu pembangunan sukan diteruskan supaya tidak ketinggalan dan pemain pelapis berkebolehan boleh dihasilkan menerusi aktiviti dan program yang dirangka kelak.

"Ketika pandemik Covid-19 melanda negara, sudah tentu pelbagai aktiviti sukan dihentikan termasuk program pembangunan, sekali gus memerlukan perancangan lebih sistematik pada tahun depan termasuk sumber dana kukuh," katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amrul Hazarin Hamidon berkata, ragbi yang boleh dikatakan sendu pada tahun ini memerlukan suntikan dana bagi memastikan aktiviti atau program boleh diteruskan pada 2021.

"tahun ini hampir semua aktiviti atau program ragbi dibatalkan akibat pandemik Covid-19, malah suntikan dana juga kurang terutama daripada sektor korporat.

"Oleh itu, penting kepada kami memperoleh suntikan dana supaya program akar umbi termasuk pembangunan ragbi wanita boleh diteruskan tanpa masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 6:35 AM