SKUAD hoki remaja negara pamer aksi hambar di   Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC).
SKUAD hoki remaja negara pamer aksi hambar di Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC).
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja negara mempunyai 'detik genting' kira-kira sebulan lagi untuk memperbaiki segala kelemahan sekiranya mahu mendapatkan keputusan terbaik di Piala Dunia Remaja bermula 5 Disember depan selepas mempamer aksi hambar di Piala Sultan Johor.

Bekas pemain negara, Maninderjit Singh berkata, skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim sebenarnya mempunyai barisan pemain berbakat serta mampu memberi saingan namun terdapat sekurang-kurangnya enam elemen perlu diperkemaskan sebelum bermulanya Piala Dunia Remaja yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

"Perkara pertama saya lihat adalah kita tidak mempunyai penjaga gol yang konsisten. Jadi pihak kejurulatihan perlu memikirkan cara untuk meningkatkan prestasi penjaga gol negara.

"Keduanya, barisan pemain negara tidak konsisten beraksi pada setiap suku perlawanan. Kadangkala mereka beraksi dengan baik di suku pertama dan ketiga tetapi teruk di suku kedua dan keempat.

"Ketiga, nisbah pukulan sudut penalti yang diperolehi skuad negara dengan gol dapat dijaringkan agak mengecewakan. Kita memerlukan enam atau tujuh pukulan sudut penalti untuk mendapatkan satu gol.

"Manakala keempat, skuad negara perlu memperkemaskan aksi bertahan ketika pukulan sudut penalti. Ini kerana jika lawan dapat lima pukulan sudut penalti, mereka mampu menjaringkan antara dua atau tiga gol," katanya ketika dihubungi.

Jelas Maninderjit elemen yang lain yang perlu diperbaiki oleh skuad Young Tigers adalah mempelbagaikan corak permainan dan tidak hanya beraksi dengan set permainan yang sama sekali gus mudah dibaca oleh pihak lawan.

"Selain itu, kita selalu mengejar dalam perlawanan iaitu sering ketinggalan dan kemudian barulah bangkit untuk mendapatkan gol. Segala elemen ini tidak boleh berlaku dalam Piala Dunia Remaja," katanya.

Maninderjit secara peribadi bagaimanapun berharap skuad negara dapat menamatkan kempen di Piala Dunia Remaja dengan sekurang-kurangnya mara ke suku akhir.

"Kita sebagai tuan rumah, jadi kita perlu memanfaatkan peluang dan membuktikan kemampuan untuk bersaing dengan pasukan terhebat dunia," katanya.

Pada edisi ke-11 Piala Sultan Johor yang dilabel mini sebagai Piala Dunia Remaja minggu lalu, skuad negara sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh daripada lapan pasukan bertanding.

Skuad negara tewas dalam empat perlawanan iaitu 2-3 ketika menentang New Zealand, India (1-3), Pakistan (2-3) dan Britain (4-7) tetapi mujur meraih kemenangan ke atas Afrika Selatan 3-2 dalam aksi penentuan tempat ketujuh dan kelapan.

Sebanyak 16 pasukan akan beraksi pada saingan Piala Dunia Remaja dengan skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Argentina dan bekas juara, Australia serta Chile.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 2:56 PM