SKUAD negara meraikan kejayaan menewaskan Thailand. FOTO REUTERS
SKUAD negara meraikan kejayaan menewaskan Thailand. FOTO REUTERS
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Pasukan hoki wanita negara menamatkan cabaran di temasya Sukan Asia Hangzhou di kedudukan kelima selepas menewaskan Thailand 2-1 di Stadium Gongshu Canal Sports Park.

Kemenangan itu menyaksikan mereka berjaya mencapai sasaran yang diletakkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Bagaimanapun kemenangan itu tidak hadir dengan mudah apabila pintu gol negara terlebih dahulu dicerobohi pada minit ketujuh perlawanan apabila Kunjira Inpa menjaringkan gol padang untuk Thailand mendahului 0-1.

Hanis Nadiah Onn bangkit meledak gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti dengan suku pertama berakhir 1-1.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat suku ketiga, namun pada suku keempat, pasukan negara mula menguasai perlawanan dan akhirnya gol kemenangan hadir menerusi jaringan sudut penalti Nuraini Abdul Rashid pada minit ke-56, sekali gus mengesahkan kemenangan.

Pencapaian Malaysian Tigress ini boleh dianggap baik berikutan pasukan kali ini rata-rata dibarisi pemain muda.

Pencapaian terbaik skuad wanita di Sukan Asia adalah pada edisi 1982 di India, ketika meraih pingat gangsa, sebelum menamatkan saingan di kedudukan keempat pada temasya Seoul, 1986.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 4:03 PM