SKUAD negara sekadar seri 4-4 dengan China. FOTO ASYRAF HAMZAH
SKUAD negara sekadar seri 4-4 dengan China. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syafiq Aznan


Hangzhou: Skuad hoki lelaki negara terlepas slot automatik ke Sukan Olimpik 2024 selepas impian meraih pingat emas di Sukan Asia 2022 tidak kesampaian.

Ini selepas skuad bimbingan Arul Selvaraj terkandas di peringkat kumpulan apabila terikat 4-4 menentang China pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Gongshu Canal Park, sebentar tadi.

Keputusan seri itu sudah cukup membolehkan China menjuarai Kumpulan B selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan sepanjang kempen peringkat kumpulan.

Susulan keputusan ini, 'Malaysian Tigers' akan bersaing bagi merebut kedudukan kelima menentang Pakistan.

Pada aksi itu, aksi sengit ditampilkan kedua-dua pasukan namun China memanfaatkan pukulan sudut penalti pada minit ke-13 untuk merobek gawang Malaysia menerusi Gao Jiesheng.

China mendominasi awal suku kedua sebelum Malaysia menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Azrai Aizad Abu Kamal (m18) namun China kembali di depan hasil jaringan Chen Qijun (m20).

Suku kedua bertambah rancak selepas Malaysia 'menghambat' China dengan gol penyamaan Ashran Hamsani (m25) untuk kedudukan terikat 2-2 sehingga tamat suku kedua.

Malaysia mendahului buat kali pertama apabila pukulan sudut penalti Amirul Hamizan Azahar (m35) membolosi gawang China namun kedudukan kembali 3-3 apabila Pan Dongquan menyempurnakan pukulan penalti (m36).

Kedua-dua pasukan menamatkan suku ketiga dengan keputusan 4-4 apabila gol padang Zhu Weijiang (m43) memadam gol keempat negara yang dijaringkan Faiz Jali (m35).

Tiada gol disaksikan pada suku keempat dan keputusan seri sudah cukup buat China bagi perlawanan malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 10:41 PM