ANTARA aksi skuad hoki remaja wanita negara ketika bertemu India pada perlawanan kedua Kumpulan A Piala Remaja Asia 2023. FOTO AHF
ANTARA aksi skuad hoki remaja wanita negara ketika bertemu India pada perlawanan kedua Kumpulan A Piala Remaja Asia 2023. FOTO AHF
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja wanita negara terlepas peluang untuk mencipta kejutan apabila tewas 1-2 kepada pasukan pilihan iaitu India dalam aksi kedua kumpulan A Piala Remaja Asia 2023, hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Kawasaki Heavy Industries itu menyaksikan anak buah Lailin Abu Hassan tidak gentar untuk beraksi dengan pasukan bertaraf gergasi itu dengan sering melancarkan serangan berbahaya sebaik aksi bermula.

Malah, skuad The Young Tigress terlebih dahulu membuka akaun gol menerusi jaringan padang oleh Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri pada minit keenam perlawanan untuk kedudukan 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, India menggandakan asakan sebelum menyamakan kedudukan selang empat minit kemudian menerusi Mumtaz Khan dan menyumbat gol kemenangan melalui Deepika (minit ke-26).

Lailin berkata, barisan anak buahnya berjaya membuatkan India tersentak daripada lamunan dengan memberikan tentangan sengit sehingga perlawanan tamat.

"Tahniah kepada pemain kerana berjaya memberikan tentangan sengit sepanjang tempoh perlawanan sekali gus mampu menghasilkan gol pada pertemuan itu.

"Sebelum perlawanan, kita sudah membuat analisis corak permainan India sekali gus berjaya menyekat serangan dan pukulan sudut penalti mereka," katanya.

Selain itu, Lailin berkata, skuad negara perlu menang apabila bertemu Uzbekistan esok bagi mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan A.

"Saya mengharapkan pemain cepat pulih untuk mengharungi perlawanan esok kerana kita perlu menang untuk terus beri saingan dalam kumpulan A.

"Oleh itu, saya harap mereka akan terus fokus untuk perlawanan menentang Uzbekistan dan gunakan tempoh 24 jam untuk berehat selepas mengharungi perlawanan berturut-turut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 4:25 PM