SKUAD hoki remaja negara tewas 1-4 kepada Sepanyol, hari ini. FOTO FIH
SKUAD hoki remaja negara tewas 1-4 kepada Sepanyol, hari ini. FOTO FIH
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja negara tewas 1-4 kepada Sepanyol dalam penentuan tempat ketujuh dan kelapan di kempen Piala Dunia Remaja dekat Bhubaneswar, India, sebentar tadi.

Walaupun tewas pada perlawanan terbabit, anak buah Wallace Tan harus diberikan pujian kerana berjaya memperbaiki kedudukan berbanding penyertaan pada edisi terdahulu yang menyaksikan Malaysia menamatkan kempen di tempat ke-11.

Dalam perlawanan itu, Malaysia membuka jaringan awal menerusi kapten pasukan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit keempat namun Sepanyol yang dikendali Alejanfro Siri nyata berada dalam kelas tersendiri.

Tersentak dengan jaringan itu, Sepanyol menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian menerusi Eduard de Ignasio Simo.

Sepanyol terus menguasai permainan dan meledak gol jaringan sudut penalti pada minit ke-49 menerusi Pau Cunill untuk meletakkan mereka di hadapan.

Jaringan sudut penalti oleh Pepe Cunill meletakkan pasukan berada di kedudukan lebih selesa pada minit ke-55 sebelum Pau sekali lagi meledak jaringan selang tiga minit kemudian sekali gus memuktamadkan perlawanan dengan berkesudahan 4-1.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menamatkan kempen Piala Dunia Remaja di tempat kelapan daripada 16 pasukan yang bertanding.

Sudah pastinya, Wallace akan melakukan penambahbaikan kepada pasukan remaja negara sebagai persiapan untuk Piala Dunia Remaja 2023 dengan Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada kejohanan terbabit.

Prestasi terbaik Malaysia dalam kejohanan itu ialah di tempat ke empat keseluruhan pada 1979, 1982 dan 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 5:33 PM