PEMAIN hoki remaja lelaki negara (jersi putih) menewaskan Bangladesh 5-1, hari ini. FOTO AHF
PEMAIN hoki remaja lelaki negara (jersi putih) menewaskan Bangladesh 5-1, hari ini. FOTO AHF
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja negara terus 'mengamuk' di pentas Piala Remaja Asia apabila menjadikan Bangladesh sebagai mangsa kedua dengan kemenangan 5-1, sebentar tadi.

Pada aksi berlangsung di Kompleks Belia Kebudayaan dan Hiburan Sultan Qaboos, Oman, skuad muda negara mencipta jaringan seawal minit kelapan menerusi gol padang dihasilkan Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini.

Shahmie Irfan Suhaimi menggandakan jaringan pada minit ke-13 selepas menyempurnakan peluang menerusi pukulan sudut penalti.

Aksi di suku kedua pula menyaksikan Muhammad Syamim Naim Abd Hamid meletakkan skuad negara semakin selesa di hadapan apabila pukulan sudut penaltinya menerjah gawang pada minit ke-15 untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Tersentak dengan jaringan itu, Bangladesh merapatkan jurang apabila memperoleh gol pertama pada minit ke-37 apabila menampan bola selepas berlaku kekalutan di hadapan gawang Malaysia.

Barisan anak buah Amin Abdul Rahim memperkemaskan kembali strategi mereka dan Shahmie sekali lagi memainkan peranan penting dengan meledak gol keempat menerusi pukulan sudut penalti.

Shahmie terus mencipta sensasi apabila meledak hatriknya seminit sebelum tamat perlawanan untuk memberikan kemenangan mutlak 5-1 ke atas Bangladesh.

Ujian sebenar Malaysia adalah bertemu Korea Selatan, Sabtu ini, sekali gus bakal menentukan kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 10:20 PM