SKUAD negara tewas 1-3 kepada Korea Selatan. FOTO AHF
SKUAD negara tewas 1-3 kepada Korea Selatan. FOTO AHF
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja wanita negara terpaksa melupakan slot untuk beraksi di pentas Piala Dunia Remaja di Chile selepas gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Remaja Asia Wanita, sebentar tadi.

Hal ini kerana, skuad bimbingan Lailin Abu Hassan tumpas 1-3 kepada Korea Selatan sekali gus menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga, di belakang India dan Korea Selatan.

Pada perlawanan itu, Korea Selatan memperoleh gol menerusi An Sujin pada minit keempat, Song Sungeun (m-38) dan Lee Yujin (m-48) manakala gol tunggal Young Tigress, dijaringkan Norshafiqha Ishak pada minit ke-38.

Lailin berkata, barisan pemain sudah mempamerkan kesungguhan pada perlawanan terbabit namun disebabkan kesilapan mudah menyebabkan mereka dihukum pihak lawan.

"Mereka sudah menunjukkan kesungguhan tinggi walaupun tewas. Korea Selatan memberi tekanan dari awal dengan menyerang kubu pertahanan kita, namun mereka Berjaya menjaringkan gol Ketika pemain pertahanan leka," katanya.

Skuad negara berpeluang untuk menebus kekecewaan apabila turun beraksi pada penentuan tempat kelima hingga lapan, esok, menentang Hong Kong, yang menghuni tangga keempat kumpulan B.

"Esok kita akan berdepan Hong Kong untuk memastikan layak ke penentuan tempat kelima atau enam.Oleh itu persiapan tetap dilakukan kerana tidak boleh memandang mudah cabaran pasukan lawan ," katanya.

Mengikut rekod, sebelum ini, skuad negara membelasah Taiwan 7-0, dan Uzbekistan 12-0 selain tewas 1-2 di tangan India.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 6:12 PM