SKUAD hoki negara menjalani latihan ringan sebaik tiba di Perth. FOTO MHC
SKUAD hoki negara menjalani latihan ringan sebaik tiba di Perth. FOTO MHC
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ketua Jurulatih Kebangsaan, Arul Selvaraj menegaskan beliau tidak mahu pemain skuad hoki negara menggunakan puasa sebagai alasan untuk tidak menyerlah pada Siri Perlawanan Ujian Antarabangsa bertemu Australia di Stadium Hoki Perth, Australia.

Aksi yang akan bermula 23 April hingga 28 April 2022 adalah tugas antarabangsa pertama mereka tahun ini dan akan memberi ruang buat Arul mencuba beberapa pendekatan terhadap pemain sebagai persiapan untuk menghadapi Piala Asia serta Sukan Asia.

Tegas Arul, peluang bermain dengan pasukan terbaik dunia itu perlu digunakan sebaik mungkin dan antara perkara yang akan diberi penekanan adalah semangat juang dan sikap pemain yang perlu berjuang sehingga ke wisel penamat.

"Seperti yang kita tahu pasukan hoki Australia kini di ranking pertama dunia dan semua tahu kepantasan pemikiran mereka adalah yang terbaik di dunia dan pemain kita mempunyai kaki terpantas.

"Kalau pemain boleh mengikut rentak Australia dan boleh bermain dengan mereka, pasukan Malaysia akan menjadi pasukan yang kuat dan pemain akan menjadi pemain yang pantas dari segi pergerakan juga pemikiran membuat keputusan di atas padang.

"Jika kita boleh gabungan kedua-dua ini, pasti sesuatu keputusan positif akan dicapai. Itu fokus utama kami di sepanjang perlawanan ujian nanti," katanya.

Arul berkata, empat perlawanan ujian berkenaan adalah penting buat pasukan negara menjelang Piala Asia yang akan berlangsung Jakarta, Indonesia pada 23 Mei hingga 1 Jun 2022 ini.

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan berlepas ke Perth, Australia semalam dan akan memulakan aksi perlawanan ujian pertama mereka bermula esok.

Kesemua pemain turut diingatkan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan agar terhindar daripada masalah terutama Covid-19.

"Setakat ini pergerakan pasukan berjalan lancar. Mereka datang dengan fokus untuk perlawanan ujian ini.

"Mereka tahu akan kesan kepada pasukan jika sesuatu berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 5:10 PM