REVINGTON (dua dari kiri) kagum dengan semangat dan keinginan yang dipamerkan oleh pemain muda khasnya biarpun dibelasah skuad lebih ternama seperti India dan Jepun. FOTO Bernama
REVINGTON (dua dari kiri) kagum dengan semangat dan keinginan yang dipamerkan oleh pemain muda khasnya biarpun dibelasah skuad lebih ternama seperti India dan Jepun. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pencapaian Skuad Hoki Projek Khas Wanita Kebangsaan yang menduduki tempat kelima di Kejohanan Piala Asia baru-baru ini perlu diberi pujian apabila berjaya mengulangi pencapaian edisi lalu biarpun hanya menurunkan barisan muda.

Ia memberi petanda yang baik dengan Malaysian Tigress dijangka mampu untuk mengganas lagi selepas ini sekiranya terus diberi kepercayaan.

Apa yang perlu ketika ini adalah kesabaran dalam menggilap bakat muda untuk menimba pengalaman luar di peringkat antarabangsa.

Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Paul Revington berkata, beliau kagum dengan semangat dan keinginan yang dipamerkan oleh pemain muda khasnya biarpun dibelasah skuad lebih ternama seperti India dan Jepun.

Semangat juang yang tidak mahu mengalah dan dibantu barisan senior, beliau yakin skuad wanita negara ini mampu untuk mencapai misi MHC ke arah pembentukan skuad bertaraf antarabangsa.

"Saya perlu beri ucapan tahniah kepada pasukan dengan apa yang mereka pamerkan di Piala Asia. Begitupun pasukan ini tidak boleh dibandingkan dengan pencapaian pasukan lalu.

"12 pemain dengan rata-rata adalah berusia 22 tahun tanpa ada pengalaman di peringkat antarabangsa berjaya mengadaptasi dan menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan dengan baik.

"Belajar sesuatu yang baru dari satu perlawanan ke satu perlawanan, prestasi pasukan wanita negara perlu diberi pujian. Saya bangga dengan mereka," katanya.

Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan berjaya menyamai rekod kejohanan edisi terdahulu (2017) di Kakamigahara, Jepun apabila menamatkan saingan di Piala Asia Wanita 2022 di Kompleks Sultan Qaboos, Muscat, Oman, di kedudukan kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 8:33 PM